CIDB tak iktiraf: 60,000 graduan kolej vokasional menganggur setiap tahun

Ketua Pegawai Operasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah, Dr. Rozaimi An

SEPANG: Ratusan ribu graduan kolej vokasional (KV) di negara ini gagal memasuki pasaran pekerjaan terutama dalam sektor pembinaan tempatan kerana diploma yang diterima tidak diiktiraf Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Kebimbangan tersebut disuarakan Ketua Pegawai Operasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah, Dr. Rozaimi An selepas berlaku kekurangan kritikal tenaga kerja dalam sektor pembinaan ketika ini.

Dianggarkan, setiap tahun institusi pendidikan menengah atas itu melahirkan lebih 60,000 graduan namun kemahiran diperoleh tidak diperakui CIDB.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, tidak ramai yang tahu, untuk menjadi pekerja pembinaan di Malaysia, wajib menduduki peperiksaan di ABM sebelum dianugerahkan Sijil Kecekapan Kemahiran Pembinaan (SKKP) yang dikeluarkan oleh CIDB.

Menurut beliau, ini bagi memastikan pekerja terbabit bertauliah, malah, terikat dengan undang-undang kawal selia jika kerja pembinaan ada masalah seterusnya boleh didakwa di mahkamah.

Ironi ketika ini, sesiapa sahaja boleh mendakwa sebagai pekerja pembinaan walaupun tiada asas ilmu berkenaan, padahal kegagalan memiliki SKKP boleh dihukum denda maksimum RM5,000.

Dianggarkan 10 peratus daripada tenaga kerja di negara ini terlibat dalam sektor pembinaan, namun, apa yang berlaku bidang itu banyak dikuasai oleh buruh warga asing tanpa memiliki SKKP.

Ini amat berisiko dalam jangka panjang kerana dibimbangi hasil kerja pembinaan oleh golongan tersebut kemungkinan besar tidak memenuhi standard kualiti ditetapkan CIDB.

“Setakat ini, apa yang kami dapati, pelajar KV hanya buang masa belajar empat tahun tetapi tidak boleh ceburi sektor pembinaan kerana sijil diterima mereka tidak diperakui CIDB.

“Padahal lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh menyambung belajar di ABM antara tempoh dua bulan sehingga dua tahun, sebelum diiktiraf dengan akreditasi yang sah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

KV yang dijenamakan pada 2012 daripada asalnya ialah Sekolah Menengah Vokasional menawarkan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dengan meliputi 84 buah di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Rozaimi berkata, ABM merupakan anak syarikat CIDB yang ditubuhkan di bawah Akta CIDB 1994 atau Akta 520 sebagai pusat penilaian dan latihan sektor pembinaan.

Sejak tahun 2000, ABM sudah berjaya melahirkan hampir 150,000 pelatih di bawah Program Latihan Kemahiran Belia di seluruh negara dengan kadar kebolehpasaran sekitar 88 peratus.

Kesedaran mengenai isu ini katanya, masih rendah sedangkan mereka yang ada pengalaman bidang itu boleh terus menduduki ujian sijil tersebut di ABM dengan tempoh kurang enam jam.

Setiap tahun ujar Rozaimi, seramai 5,000 peserta menjalani penilaian ketat berkenaan yang hanya memakan masa tidak sampai sehari di enam kampus cawangan ABM Wilayah.

Justeru, ABM sedia bertemu Kementerian Pendidikan agar kurikulum KV diselaraskan dengan keperluan CIDB bagi membolehkan pelajarnya menduduki ujian dan menerima SKKP sah.

Pihak ABM katanya, berharap remaja yang berminat boleh datang berkursus kerana semua programnya ditaja kerajaan dan jika sudah ada pengalaman, tempoh belajar cuma enam bulan.

Apatah lagi prospek karier dalam sektor pembinaan tempatan amat luas bahkan ABM sedia membimbing pelajar menjadi usahawan termasuk sebagai operator bertauliah bidang itu.

Pada masa sama, Rozaimi berharap, penglibatan belia tempatan dalam pembinaan mampu berpotensi mengambil alih peluang kerja tersebut yang selama ini banyak diisi rakyat asing. –UTUSAN ONLINE

 

Previous Post Next Post