Ilmu pedagogi bakal guru tidak selari dengan perkembangan di sekolah

Cikgu Mat Ariffin Ismail via Facebook

ISNIN - Suasana pendidikan negara menjadi hangat semula dengan pengumuman pemansuhan PT3 oleh Menteri Kanan Pendidikan awal bulan yang lalu.

Pelbagai pihak cuba melontarkan pendapat masing-masing dengan pelbagai cadangan.

Seorang guru pakar yang berpengalaman luas dalam PdP Bahasa Melayu, Mat Ariffin Ismail melontarkan luahan beliau mengenai persiapan bakal guru yang bakal terjun ke dalam dunia pendidikan.

"Apabila saya menyatakan ilmu bakal guru yang akan keluar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Universiti pada masa ini tidak selari dengan keadaan sekolah, ada cuba menafikannya," katanya.

Beliau menyenaraikan beberapa isu yang timbul berkaitan latihan yang diterima oleh bakal guru di IPG dan juga universiti. Antara isu-isu tersebut:

1. Kementerian Pendidikan (KPM) dan sekolah meminta guru menerapkan didik hibur di dalam setiap standard pembelajaran (SP). Adakah bakal guru telah diajar sebegitu ketika di IPG dan universiti?

2. Pentaksiran Bilik Darjah (PBD): IPG dan universiti tidak mengajar bakal guru ini secara mendalam cara pelaksanaan dan cara pemberian Tahap Penguasaan (TP). Oleh itu, bakal guru terkapai-kapai apabila masuk ke sekolah. Akibatnya, JPN, PPD dan guru-guru lama terpaksa membimbing mereka.

3. Sekolah TS25: Bakal guru langsung tidak didedahkan. Oleh itu, para guru baharu terpinga-pinga apabila sampai di sekolah.

"Ini adalah sebahagian yang saya cuba buktikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di IPG dan universiti tidak selari dengan kehendak semasa di sekolah," jelasnya di dalam satu posting Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, guru di sekolah diminta menjadi kreatif, tetapi bakal guru sendiri tidak diajar menjadi kreatif bagi setiap SP, justeru bagaimana harapan tersebut akan menjadi kenyataan.

"Setakat manakah IPG dan universiti boleh menghasilkan kemenjadian pelatih dalam melaksanakan PdP yang kreatif dan berkesan di sekolah setelah menjadi guru sebenar. 

"Banyak rungutan guru baharu keluaran IPG tidak mampu membantu menghasilkan PdP berkesan yang berterusan," katanya.

Beliau berkata, pendekatan PdP yang menyeronokkan murid itu mustahak. Susah senang kurikulum adalah menjadi tanggungjawab untuk guru tafsirkan bukan murid. Guru boleh permudahkan untuk keseronokan murid. Jadi, pelatih guru perlu menjadi seorang guru yang berkesan. Keseronokan murid terletak pada pelaksana di dalam  kelas tersebut.

"Analoginya macam juga memasak kena ada resipinya tetapi kalau cara guna resipi salah makan pun tak sedap.

"Orang yang makan tidak perlu tahu resipi sebab resepi itu ada pada tukang masak. Samalah dengan DSKP," katanya lagi. 

Katanya, murid tidak perlu tahu kandungan DSKP, tetapi cikgu wajib tahu kerana murid hanya belajar apa yang diminta oleh gurunya, Jika bakal guru yang disediakan tidak mantap, hasilnya pun pastilah akan mantap.


Previous Post Next Post