Wajibkan ibu bapa hantar anak ke sekolah hingga SPM

Prof. Datuk Dr. Raduan Che Ros

PETALING JAYA: Akta Pendidikan 1996 perlu dipinda bagi mewajibkan setiap ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah sehingga mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, peruntukan undang-undang sedia ada hanya mewajibkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka mengikuti pelajaran rendah setakat darjah enam tahun. 

Berdasarkan Seksyen 29A(2) akta itu, ibu bapa yang gagal menghantar anak-anak mereka mengikuti pelajaran rendah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, bukan sahaja Akta Pendidikan 1996 perlu dikaji semula malah malah pelaksanaan sasaran 45 peratus calon SPM memasuki institut pengajian tinggi (IPT) perlu dilihat semula kerana gagal dicapai.

Menurut beliau, selain itu, kegagalan 10,681 calon menduduki SPM tahun lalu disifatkan sebagai isu negara kerana perkara itu punca keciciran rakyat mendapat pendidikan dan peluang pekerjaan.

"Kalau mereka tiada sijil SPM, di mana hala tuju mereka? Apa nasib mereka selepas ini sedangkan kerajaan turut pernah menyasarkan kemasukan sekurang-kurangnya 55 peratus daripada lepasan SPM ke program TVET.

"Jika tiada SPM, mereka keciciran dalam pelbagai aspek yang kebanyakan menetapkan SPM sebagai syarat kemasukan," katanya.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad menegaskan, jumlah pelajar tidak menduduki SPM satu perkara serius dan menuntut kerajaan mencari mekanisme terbaik untuk memberi peluang kedua kepada mereka.

Menurut beliau, masa depan mereka tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan kerajaan perlu mencari jalan terbaik untuk membantu kumpulan itu untuk mendapat sijil SPM.

Beliau bersetuju Seksyen 29A(2) Akta Pendidikan 1996 perlu dikaji semula dengan memperluaskan pendidikan wajib selama 11 tahun berbanding kini enam tahun kini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NU TP), Wang Heng Suan berkata, tidak dinafikan mewajibkan SPM merupakan langkah terbaik agar semua rakyat Malaysia mendapat akses pendidikan namun perkara itu perlu melihat secara menyeluruh termasuk kekangan dihadapi pelajar tingkatan lima.

Katanya, lebih 10,000 calon gagal mengambil peperiksaan tahun lalu tidak berkemungkinan berpunca daripada faktor kewangan apabila ibu bapa mereka tidak dapat bekerja ke rana diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19.

Beliau tidak menolak kemungkinan mereka terpengaruh dengan pempengaruh di media sosial yang kononnya menjanjikan pendapatan lebih lumayan dengan bermodalkan internet.

 

Previous Post Next Post