Beri peluang calon SPM tercicir dapatkan sijil kemahiran

Imej hiasan

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa tidak membiarkan lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang tercicir dengan memberi laluan kepada mereka mendapatkan sijil lain seperti kemahiran. 

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad, berkata jumlah 1,655 calon atau 0.43 peratus memperoleh keputusan semua gagal bukanlah angka sedikit, ditambah lagi dengan 24,941 calon tidak mengambil peperiksaan memperlihatkan trend kini amat membimbangkan. 

Katanya, KPM perlu mengambil inisiatif membuka laluan kepada calon yang gagal untuk te rus bangkit termasuk ada daripada mereka tercicir akibat pandemik. 

"Kita memahami calon SPM 2021 agak terkesan dengan pandemik kerana mereka adalah kohort yang lama menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) sebelum sesi bersemuka yang hanya berbaki beberapa bulan sahaja.

"Ditambah pula dengan mereka juga kohort pertama menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), iaitu satu format baharu dalam mata pelajaran. Jadi peluang perlu diberikan dalam usaha kita membina generasi yang tidak tercicir pada masa depan." katanya.

Seramai 9,696 atau 2.54 peratus daripada 407,097 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2021 memperoleh keputusan semua A.

Pengumuman SPM 2021 yang dikendalikan Ketua Pengarah Pendidikan. Datuk Nor Zamani Abdol Hamid itu turut mencatatkan seramai 71,842 calon atau 18.80 peratus pula memperoleh keputusan sekurang-kurangnya kepujian.

Bagi calon mendapat keputusan lulus, katanya, ia membabitkan seramai 129,796 atau 33.96 peratus, manakala 125,454 calon pula sekurang-kurangnya gagal satu mata pelajaran.

Daripada jumlah calon menduduki peperiksaan itu juga, seramai 43.703 bersamaan 11.44 peratus memperoleh keputusan kombinasi gred dan 0.43 peratus atau 1,655 calon memperoleh keputusan semua gagal.

Mengulas lanjut, Anuar berkata. KPM perlu menyegerakan inisiatif untuk calon SPM 2021 yang tercicir bukan sahaja disebabkan faktor demografi seperti kemiskinan dan kehilangan tempat bergantung, malah ada calon yang kemungkinan besar hilang semangat akibat perlu menjalani PdPR di rumah.

"Mereka ini boleh dibantu dengan peluang mengikuti pengajian di mana-mana institusi kemahiran. 

"Jangan lepaskan mereka yang tercicir ini yang menjadi antara mangsa keadaan pandemik selama dua tahun sebaliknya beri ruang untuk bangkit kembali," katanya.

Pada masa sama, Anuar berkata, keputusan memberangsangkan SPM 2021 memperlihatkan keberkesanan PPR yang dijalankan KPM.

"Pelaksanaan KSSM bertujuan menyediakan calon dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi memenuhi keperluan negara pada masa depan dilihat berjaya difahami calon walaupun mereka adalah kohort pertama menjawab 50 peratus soalan kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

"Walaupun secara jelasnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjejaskan dengan ketara prestasi penguasaan KBAT calon SPM 2021, namun ia masih harus dipuji kerana mereka berdepan cabaran besar sepanjang menjalani pembelajaran di Tingkatan Empat dan Lima akibat pandemik," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Wan Nurul Izza Wan Husin, berkata pelbagai faktor diambil kira terhadap jumlah calon SPM 2021 yang tercicir akibat kesan pandemik dalam tempoh dua tahun ini.

Katanya, isu keciciran pelajar bukan sahaja di Malaysia, sebaliknya seluruh dunia terkesan sekali gus menjejaskan pendidikan generasi muda,

"Kita melihat ia bukan sahaja disebabkan hilang motivasi akibat perlu menjalankan PdPR yang agak mencabar kerana bukan semua memiliki peranti untuk pembelajaran dalam talian.

"KPM perlu memanggil dan meneliti semula jumlah calon tercicir ini. Mereka perlu diberi peluang menduduki SPM dengan pelbagai kaedah disediakan seperti menduduki semula kertas peperiksaan," katanya.

Beliau berkata, calon yang tercicir juga perlu membuka mata mengenai pentingnya sijil pendidikan demi masa depan lebih baik.

 

Previous Post Next Post