Enam sebab sistem ranking sekolah perlu dimansuhkan

Terdapat enam sebab sistem ranking sekolah perlu dimahsuhkan segera.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali menjelaskan, satu daripadanya ialah sistem penilaian untuk menentukan ranking sesebuah sekolah yang diguna pakai itu hanya berdasarkan kepada keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, la sama sekali bertentang dengan Pelan Pembangunan PendidIkan Malaysia 2013 hingga 2025 disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mendasari hala tuju pendidikan negara.

Menurutnya, penilaian prestasi sekolah seharusnya memberi ukuran menyeluruh merangkumi enam aspirasi murid yang telah ditetapkan dalam pelan tersebut iaitu penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin.

Selain itu, katanya, pelan tersebut juga menuntut agar murid dapat menguasai dwibahasa, mempunyai nilai etika dan moral yang tinggi serta identiti nasional

"Ukuran yang digunakan dalam menentukan ranking sekolah berkemungkinan hanya menilai aspirasi penguasaan ilmu dan tidak yang lain. Dalam manamana organisasi, apabila ada satu pelan hala tuju dan aspirasi yang dinyatakan dengan jelas, sebaiknya kita melaporkan semua perkara ini.

"Mengukur prestasi tiada .masalah. Di mana-mana institusi kita pergi mesti ada ukuran prestasi untuk tahu kita berjaya atau tidak. Yang menimbulkan masalah ialah kita nampak bahawa hanya keputusan peperiksaan menjadi penterjemahan utama prestasi sekolah. Ukuran prestasi seharusnya membantu pihak sekolah melahirkan murid berkualiti. Kemenjadian mereka, lebih daripada peperiksaan.

"Apabila saya meneliti bagaimana ranking sekolah diukur, semuanya bersandar kepada keputusan peperiksaan. Maksudnya kalau semua pelajar dapat semua A, sekolah mempunyai ranking paling baik. Jadi, di mana aspirasi lain yang ditetapkan KPM ini?" jelas beliau ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui sistem ranking tersebut, ia secara tidak langsung menjadikan sesebuah sekolah tersebut hanya memfokuskan kepada pencapaian akademik semata-mata.

"Kita kena faham, apa yang diukur pastinya akan mempengaruhi apa tindakan yang akan dibuat. Kalau kita ukur A, A yang akan jadi keutamaan dalam tindakan. Kalau ukur gred, gred yang akan jadi tumpuan.

"Jadi, itu masalah. Mungkin ia akan menjadi penterjemahan kepada prestasi sekolah, guru, pengetua dan murid. Sedangkan kita ada enam aspirasi murid yang sama penting," ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, apabila ranking sekolah dikeluarkan berdasarkan peperiksaan, ia menyebabkan aspirasi murid yang lain seperti kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, penguasaan bahasa, etika dan masyarakat, negara serta identiti nasional diketepikan.

"Jadi, bagaimana sekolah yang memberi penekanan dan hebat dalam sukan, atau yang menekankan aspek kepimpinan -ini? Jika gred peperiksaan murid tidak bagus, sekolah akan dianggap tidak berjaya, berada di bawah dalam ranking. Ini turut memberi kesan kepada kepimpinan sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar itu sendiri," ujarnya.

Dalam masa sama, menurut beliau, sistem ranking turut memberi kesan kepada pelajar dan ibu bapa apabila keputusan peperiksaan yang cemerlang mendominasi penumpuan bagi mendapatkan kedudukan lebih baik.

"Saya lebih melihat pendidikan di peringkat sekolah sebagai satu elemen penting dalam konteks pembangunan negara. Di situ anak-anak dibentuk untuk menjadi generasi berguna pada masa akan datang.

"Pembangunan insan yang berkualiti seharusnya lebih seimbang dan menyeluruh seperti yang digariskan oleh pelan yang dibangunkan KPM. Sekolah seharusnya menjadi tempat mencungkil dan mengasah bakat setiap pelajar dalam apa jua minat mereka," katanya.

Noor Azlan berkata, ada yang memaklumkan bahawa ranking berkenaan hanya melibatkan sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara
(MRSM) menyebabkan sekolah harian biasa dipinggirkan.

"Bagaimana pula sekolah-sekolah harian biasa? Majoriti murid berada di sekolah harian, apa prestasi mereka di sekolah ini? Adakah kita mempunyai ukuran prestasi yang berbeza untuk sekolah-sekolah ini, khususnya di luar bandar. Kita perlu tahu prestasi mereka," jelas beliau.

Menurutnya, adalah lebih baik KPM dapat melaporkan prestasi semua sekolah kerana semua pemegang taruh seharusnya mengetahui pencapaian mereka dan menjadikannya landasan untuk meningkatkan kualiti masing-masing.

Bagaimanapun menyentuh tentang ranking universiti pula, beliau berkata, yang sering dipaparkan tidak dibangunkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), sebaliknya oleh agensi penarafan antarabangsa.

"Ranking universiti antarabangsa pada hemat saya bukanlah sesuatu yang mutlak mengukur prestasi universiti.

"Untuk maju ke hadapan, kita kena perbetulkan kaedah penilaianprestasi sekolah ini. Sebaiknya meliputi semua enam aspirasi murid," katanya.
Sumber: Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments