Guru kejar gred, sistem ranking sekolah berat sebelah - PIBGN

SHAH ALAM - Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya menarik semula sistem ranking sekolah yang dijadikan pengukur prestasi.

Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, sistem tersebut dikhuatiri boleh merosak dan menghancurkan mutu pembelajaran negara.

Beliau berkata, kaedah penilaian sekolah termasuk keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah berdasarkan kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

"Penilaian dibuat di sekolah masing-masing, tiada pemeriksa luar. Guru sekolah sendiri yang menanda kertas peperiksaan.

"Sebab itu ia mempunyai beberapa kelemahan. Penilaian ini ada kemungkinan berat sebelah kerana semua guru ngejar untuk mencapai gred yang tinggi bagi subjek mereka. Kita juga risau ada murid yang mendapat markah tidak sepatutnya mereka peroleh. S2

"Memandangkan terdapat ketidakadilan terhadap guru untuk meningkatkan gred masingmasing, sudahtentu pencapaian di satu sekolah dengan sekolah lain adalah berbeza.

"Jadi, tiada cara yang sah untuk menilai taraf sesebuah sekolah," jelasnya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali menggesa KPM menghentikan sistem penilaian berdasarkan kedudukan ranking sebagai pengukur prestasi antara sekolah.

Menurut Noor Azlan, sistem tersebut merupakan satu kesilapan besar, sebaliknya KPM perlu fokus dalam tugas mendidik murid.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, sistem ranking tersebut menyebabkan murid lebih tertekan disebabkan guru-guru mendesak supaya mereka mendapatkan gred terbaik.

Beliau bagaimanapun mencadangkan kepada KPM supaya mewujudkan satu badan khas untuk memantau sekolah sekiranya mahu melaksanakan sistem ranking tersebut.

"Badan khas tersebut perlulah diterima secara keseluruhan negara tanpa rasa was-was.

"Kalau memakai sistem PBS, terdapat was-was integritinya, kemudian memberi kesan kepada mutu pendidikan.

"Saya menyokong penuh sistem ranking ini dimansuhkan, melainkan sistem pentaksiran itu diteliti semula, dikemas kini serta dinaik taraf.

"la supaya mempunyai ciri-ciri yang dapat diperbandingkan dengan saksama dan lebih adil." ujar beliau.

Sumber: Sinar Harian

Previous Post Next Post