KPM tidak pernah buat 'ranking sekolah' secara rasmi - NUTP

SHAH ALAM - Pihak sekolah tidak boleh meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang melangkaui kemampuan sehingga membebankan pendidik dan murid.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata, setiap pengurusan sekolah perlu mempunyai KPI iaitu matlamat yang ingin dicapai, bagaimanapun mestilah selaras dan rasional dengan keadaan sekolah.

"Maksudnya, rasional berasaskan kemampuan dan latar belakang sosial murid, persekitaran, lokasi serta kemudahan sedia ada.

"Penentuan KPI itu sendiri sebenarnya perlu bergantung pada sekolah kerana kalau terdapat 10,000 sekolah pun, masing-masing ada KPI sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, mengenai isu ranking sekolah, Aminuddin menafikan wujud sistem ranking antara sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia

Beliau menjelaskan, KPM tidak pernah membuat sistem kedudukan secara rasmi kerana adalah menjadi kesalahan sekiranya terdapat perbandingan antara sekolah.

Malah, katanya, ia juga merupakan dasar kementerian yang sudah jelas. - Sinar Harian

Previous Post Next Post