Sekolah majoriti murid B40 buktikan boleh berjaya

Salwani Muhammad Zain. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN


Petaling Jaya: Mengetuai sekolah menengah yang majoriti pelajarnya dalam kalangan B40 bukan mudah, namun Dr Zahri Ramlan menyahut cabaran itu untuk membuktikan mereka boleh berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021. 

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Utama itu berkata, sekolahnya merekodkan lonjakan dalam gred purata sekolah (GPS) sebanyak 41 peratus dalam SPM 2021. 

Beliau berkata, sejak 27 tahun sekolah itu ditubuhkan, ini kali pertama GPS keluar daripada kelompok Band 6 apabila merekodkan 5.72 GPS dalam SPM 2021 lalu. 

"Lonjakan itu begitu membanggakan warga sekolah selain membuktikan kesungguhan guru memastikan anak daripada keluarga B40 berjaya. 

"Guru juga memotivasikan pelajar untuk terus berusaha agar dapat keluar daripada kelompok B40 sekiranya berjaya dalam pendidikan kelak," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Petaling Utama, di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, Pengetua SMK (P) Sri Aman Salwani Muhammad Zain berkata, beliau mengambil pendekatan lebih holistik khususnya menggunakan gajet dalam sesi pengajaran dan pembelajaran sebagai inisiatif tambahan untuk pelajar menguasai subjek. 

Bagaimanapun, katanya, bagi pelajar B40, pihak sekolah mencari dana untuk membantu mereka memiliki gajet yang digunakan untuk kelas dalam talian. 

"Mereka perlu dibantu dan alhamdulillah pencapaian dalam SPM 2021 begitu membanggakan hasil dedikasi guru dan pelajar. 

"Tidak mudah untuk menjalani sesi pembelajaran dalam suasana yang sudah berubah akibat pandemik Covid-19 namun pelajar dan guru membuktikan mereka berjaya," katanya. 

Beliau berkata, seramai 43 pelajar SMK (P) Sri Aman berjaya mendapat keputusan penuh A untuk semua subjek manakala dua lagi mendapat A+ bagi semua subjek. 

Katanya, penghargaan juga perlu diberikan kepada guru yang tidak jemu memastikan pelajar menguasai subjek dengan cemerlang. 

"Ada guru yang sanggup korbankan hari cuti dengan mengadakan kelas tambahan dan inisiatif ini akhirnya membuahkan hasil," katanya.

 

Previous Post Next Post