KPM tidak pernah keluarkan ranking sekolah - Radzi


PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak pernah mengeluarkan senarai ranking sekolah berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, pihaknya, bagaimanapun, tidak boleh menghalang jika ada pihak luar yang mahu mengeluarkan senarai sedemikian. 

"Saya tidak tahu dari mana senarai itu diperolehi. KPM tidak pernah keluarkan ranking sekolah berdasarkan keputusan SPM. Bukan tahun ini sahaja, tahun sebelum ini pun tidak ada. 

"Kalau ada pihak luar yang berusaha keras mengumpul maklumat untuk keluarkan ranking tersebut, kami tidak boleh halang. Tetapi KPM tidak pernah berbuat demikian.

"Saya harap mana-mana pihak, sebelum membuat ulasan tentang sesuatu, pastikan sumbernya sahih kerana ini beri kesan kepada keseluruhan sistem, seolah-olah wujud ranking untuk membanding-bandingkan sekolah," katanya dalam sidang media pengumuman Sasterawan Negara di sini, pada Rabu. 

Sebelum ini, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali mengeluarkan kenyataan bahawa sistem ranking merupakan satu kesalahan besar dan KPM sepatutnya fokus dalam tugas mendidik pelajar.

Dalam perkembangan lain, Radzi memaklumkan, KPM juga tidak mempunyai perancangan untuk mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam SPM.

“Tidak ada sebarang perancangan untuk kita kaji semula Sejarah sebagai wajib lulus. Apa (yang) penting melihat apakah faktor-faktor penyumbang keputusan tersebut dan cari satu pendekatan intervensi bersesuaian.

“Ia bagi memastikan anak-anak kita lahir daripada sistem pendidikan kita ini dapat menguasai subjek Sejarah pada masa akan datang agar jumlah murid gagal dapat kurangkan dari semasa ke semasa," ujar beliau lagi.

 

Previous Post Next Post