PBS: Berilah kepercayaan penuh kepada guru mentaksir - Pensyarah

Imej hiasan

DALAM minggu pertama bulan ini, Menteri Pendidikan mengumumkan pemansuhan peperiksaan setara dikenali sebagai Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). PT3 melambangkan penanda aras pencapaian pelajar menengah rendah yang keputusannya digunakan dalam pelbagai urusan pentadbiran termasuk penempatan aliran dan sekolah untuk memulakan persekolahan di tingkatan empat.

Susulan itu, beraneka reaksi dilaporkan termasuk dalam kalangan pakar dan cendekiawan bidang pendidikan. Mereka dilihat menunjukkan pandangan berbelah bahagi, walaupun jelas tiada pihak yang menyanggah peri pentingnya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai pemangkin perubahan ke arah kemenjadian pelajar secara holistik dan seimbang, di samping mengupayakan pengetahuan, kompetensi, profisiensi, kreativiti dan keberkesanan guru.

Pihak yang kurang senang dengan keputusan kegusaran terhadap kesesuaian masa, iaitu pemilihan Jun ini untuk PT3 digantikan dengan PBS. Kegusaran tersebut dikaitkan kekangan ilmu dan kemahiran pentaksiran dalam kalangan guru, keterbatasan latihan, bimbingan, sumber dan saiz kelas.

Kepelbagaian dasar operasi dalam hal tadbir urus pentaksiran di peringkat negeri dan daerah, masalah kesuntukan masa untuk pelajar bersedia menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan kecenderungan ibu bapa yang kekal ingin memperagakan bilangan gred A diperoleh anak masing-masing turut disenaraikan sebagai punca rasa curiga terhadap keputusan pemansuhan PT3. Maka dengan itu timbul cadangan supaya keputusan pemansuhan PT3 ditangguhkan selama antara dua hingga lima tahun.

Sewajarnya kegusaran tersebut diberi perhatian dan pertimbangan kerana kegagalan memberi respons yang tentu sah berpeluang membayangkan bahawa keputusan itu dilakukan secara tergesa-gesa. Barang perlu diingat bahawa pemikiran, perdebatan, kajian dan langkah untuk memartabatkan guru melalui sistem pentaksiran bermula sejak 1993, iaitu dengan terbentuknya Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang kemudiannya diperkukuh oleh Resolusi Seminar Penstrukturan Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan pada 2000, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan pekeliling Kementerian Pendidikan, Panduan Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

Dengan didasari oleh resolusi Konferensi Pertama Mengenai Pendidikan Muslim di Mekah pada 1977, inti pati FPK yang diekori oleh percambahan pemikiran dan perdebatan berkaitan merupakan niat dan usaha konkrit untuk membangunkan potensi manusia secara menyeluruh dan bersepadu.

Dewasa ini mekanisme pentaksiran alternatif inilah yang dijuarai oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), misalnya menerusi gagasan Pembelajaran Abad 21. Rumusannya ialah pemikiran, perdebatan dan perancangan mengenai PBD telah kita terokai hampir setengah abad lalu.

PENTAKSIR BERTAULIAH

PDB bukan fenomena baharu dalam sistem pendidikan negara, sungguhpun frasa kata ini hanya mula tular dalam kalangan pelajar, guru, dan ibu bapa sejak 2011. Sesungguhnya PBD telah diamalkan sejak institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk universiti ditubuhkan. Namun, sehingga hari ini terdapat hanya beberapa kerat tenaga pengajar di IPT yang boleh dikategorikan cukup terlatih atau pakar dalam PBD. Majoriti pensyarah mula mengajar tanpa kelayakan perguruan, jauh sekali memiliki kelayakan sebagai pentaksir bertauliah.

Dalam hal ini, guru mempunyai sedikit kelebihan. Mereka telah dididik dan diberi latihan praperkhidmatan sekurang-kurangnya 120 jam pembelajaran dalam bidang pentaksiran, selain dipastikan menyertai pelbagai bengkel, seminar dan webinar berkaitan ilmu pentaksiran, khususnya selepas pelaksanaan PBS pada 2011.

Saiz kelas yang besar pula bukan sahaja berlaku dalam sistem sekolah. Apabila diimbas amalan PBD di IPT, terdapat kelas, kuliah dan kursus termasuk di universiti terulung yang mempunyai enrolmen yang besar sehingga melebihi 1,000 mahasiswa pada setiap semester pengajian. Perlu juga disebut bahawa saiz kelas bukan isu dalam semua sistem pendidikan.

Di Jepun misalnya, setiap guru yang mengamalkan PBD amat gembira apabila ramai pelajar memilih atau ditempatkan dalam kelasnya. Mungkinkah guru di negara matahari terbit itu menguasai, mengamalkan dan menikmati manfaat ilmu pentaksiran kerana mereka tahu', 'tahu dan faham', 'tahu, faham dan boleh buat', 'tahu, faham dan boleh buat dengan beradab terpuji?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan IPT giat melaksanakan program mendidik dan melatih tenaga pengajar masing-masing menguasai pengetahuan, kemahiran, sikap dan etika PBD. Misalnya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melatih dan mentauliahkan pensyarah yang menguasai ilmu bidang pentaksiran dengan sijil-sijil penyertaan, kompetensi, kemahiran dan kepakaran mengikut keperluan dan minat masing-masing. Program serupa kini ditawarkan untuk pendidik di peringkat sekolah.

Diharapkan usaha seperti ini berupaya menempatkan ilmu dan amalan pentaksiran pada kedudukannya yang hak, iaitu pemangkin reformasi dan transformasi pembelajaran, pengajaran dan pemudahcaraan. Dengan itu, sewajarnyalah kita peka bahawa kualiti guru yang mendidik anak dan cucu kita di sekolah pada hari ini adalah setara dari segi kelayakan akademik dan ikhtisas perguruan.

Yang para guru kita perlukan ialah penghargaan dengan cara diperkasa dan diberikan kepercayaan, bimbingan, autonomi dan maklum balas konstruktif (bukan sekadar maklum balas bersifat evaluatif) berterusan untuk memudahkan mereka berbakti membina insan rabbani lagi sejahtera.

PROFESOR Datuk Dr. Mohamad Sahar Nordin ialah Pengarah Pusat Pengukuran Penilaian & Pengujian (IMET), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Previous Post Next Post