Data peribadi murid sekolah dijual pihak tidak bertanggungjawab

LEPASAN SPM yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah terkejut menerima tawaran ke kolej swasta walaupun tidak pernah memohon ke tempat tersebut.

PETALING JAYA: Ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terkejut ditawarkan tempat ke kolej atau universiti swasta yang memperincikan segala data peribadi mereka walaupun tidak pernah mendedahkannya melainkan kepada pengetahuan pihak sekolah. 

Perbuatan membocorkan maklumat pelajar itu dipercayai melibatkan orang tengah yang mengaut keuntungan dengan menjual data seperti nama penuh, alamat dan nombor telefon untuk dihubungi mana-mana kolej swasta yang menawarkan tempat melanjutkan pengajian

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber pejabat pendaftar sebuah kolej swasta mendakwa, modus operandi bagi mendapatkan maklumat peribadi pelajar terlibat dipercayai melibatkan orang tengah yang berurusan secara langsung dengan sekolah atau kementerian berkenaan.

Katanya, tawaran dibuat menerusi mesej, panggilan telefon atau surat tawaran kepada pelajar untuk mengikuti pengajian di tempat tertentu yang ada antaranya langsung tidak dikenali.

"Ada juga segelintir pegawai pemasaran yang terdesak untuk mengejar komisen mereka sehingga sanggup memperoleh data daripada orang tengah.

"Ada juga orang kementerian jual kepada universiti atau kolei swasta sebab mereka ada ketetapan yang diperlukan untuk tarik masuk pelajar. Data yang dibeli itu kebanyakan maklumatnya sudah dikemas kini dan tersusun, jadi dijual lengkap dengan nama, tahun dan nombor untuk dihubungi.

"Selain secara manual mengadakan program dan membeli data, maklumat tersebut juga boleh diperoleh dengan buat program kerjasama dengan syarikat besar seperti mana-mana syarikat telekomunikasi ternama," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, seorang bekas kaunselor sekolah mengakui pernah ditawarkan habuan besar oleh pihak kolej swasta bagi mendapatkan maklumat peribadi lepasan SPM di sekolalunya.

Katanya, situasi itu berlaku kira-kira 15 tahun lalu dan didapati masih berterusan hingga kini, malah menjadi lebih serius.

"Semua maklumat pelajar disimpan oleh kaunselor sekolah dan kami menjadi sasaran pihak ketiga untuk membeli data peribadi, namun saya tidak pernah melayan tawaran itu walaupun ramai yang menghubungi.

"Saya tidak menuduh pihak sekolah terutama guru berkaitan yang mendedahkan maklumat itu, cuma saya berharap mereka lebih berintegriti dengan tidak menyalurkan sebarang data pelajar tanpa izin Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)," katanya.

Sementara itu, seorang lepasan SPM yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah berkata, dia berasa hairan bagaimana kolej-kolej swasta tertentu boleh menyimpan data peribadinya.

"Saya terkejut, tiba-tiba dapat risalah tawaran melanjutkan pengajian di universiti awam, ketika keputusan pun belum diterima. Isunya, bagaimana mereka mendapatkan alamat dan nama penuh saya? Malah ibu saya turut dihubungi mengenai tawaran ke kolej swasta itu."

Pengalaman dilalui Sarah turut dikongsi beberapa lagi lepasan SPM yang terkejut bagaimana kolej-kolej swasta ini boleh mendapatkan nama penuh, alamat dan nombor telefon mereka untuk dihubungi bagi tawaran pengajian berkenaan.

"Pada mulanya saya teruja melihat sampul surat risalah kerana memaparkan logo sebuah universiti awam, namun apabila dibuka ia sebenamya tawaran melanjutkan pelajaran ke kolej swasta yang tidak pernah saya dengar," ujamya.

Menurut Sarah, dia kesal kerana data peribadinya secara sewenang-wenangnya digunakan oleh pihak tertentu untuk penawaran pengajian tersebut.

Seorang lepasan SPM 2021 dari Shah Alam, Ameera Asya Sharifol berkata, beliau mendapat tawaran dari beberapa kolej swasta menerusi panggilan telefon untuk melanjutkan pengajian di kolej berkenaan.

"Sebelum saya menerima tawaran itu, saya akan teliti maklumat pengajian itu terlebih dahulu. Saya juga akan membuat semakan dan mencari maklumat lanjut berkaitan tawaran itu di intemet latanya.

Tambah Ameera, pelajar yang tidak mempunyai pengalaman dan tiada sesiapa untuk membimbing akan menjadi masalah.

Ia menyebabkan pelajar itu terpaksa mengeluarkan wang yang banyak dan hanya membazir masa akibat melanjutkan pelajaran di institusi yang salah.

Lepasan SPM 2021 dari Perak, Muhamad Shafiq Aiman Mohamad Arifin berkata, beliau juga pernah mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dari kolej swasta menerusi surat tawaran.

"Pada awalnya, saya agak keliru bagaimana kolej itu boleh mendapatkan data peribadi saya seperti alamat rumah dan nama penuh. Setahu saya, saya tidak pernah berkongsi maklumat itu kepada mereka.

"Pada pandangan saya, mungkin kolej-kolej itu mendapatkan data peribadi dari sekolah itu sendiri atau internet memandangkan teknologi pada masa kini lebih hebat," jelasnya.

Sementara itu, seorang lepasan SPM 2016 dari Shah Alam, Umi Fatehah Mohd. Kamal, 23. turut berkongsi pengalaman apabila mendapat beberapa tawaran dari kolej-kolej swasta untuk melanjutkan pelajaran.

"Saya sebenarnya agak keliru. Bagaimana mereka boleh mendapatkan data peribadi saya? Risau juga, tiba-tiba boleh dapat nombor telefon dan alamat. Tak mustahil mereka juga ada data peribadi saya yang lain," katanya

Previous Post Next Post