PBS harus singkir sebarang elemen pilih kasih, berat sebelah - NUTP

PETALING JAYA: Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang disambut baik oleh kalangan tokoh pendidik dan ibu bapa perlu dipastikan bebas daripada elemen berat sebelah, pilih kasih dan penipuan.

PBS yang menilai pelajar menerusi Pentaksiran Bilik Darjah (PDB) akan melaporkan penilaian tahap usaha murid, ulasan guru kelas dan guru mata pelajaran serta intervensi sekali gus terdedah kepada pilih kasih guru dan tekanan daripada ibu bapa.

Ia berbeza dengan penilaian berteraskan peperiksaan yang menilai tahap pembelajaran murid dan tidak melibatkan pandangan atau ulasan mana-mana pihak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang mengakui persepsi sedemikian akan wujud kerana PBS tidak lagi menilai berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata.

Menurut beliau, PBS seharusnya menyingkirkan sebarang elemen pilih kasih dan berat sebelah sehingga boleh melaga-lagakan antara murid dan sekolah serta memberi tekanan kepada guru dan sekolah termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"Sepatutnya apabila PBS diperkenalkan, soal perbandingan antara murid dan sekolah dikeluarkan dan dihapuskan serta-merta supaya ia selari dengan matlamat pendidikan kebangsaan tetapi pentaksiran ini akan mengambil masa untuk kita betul-betul yakin dengannya.

"Dalam soal ini, PBS yang digariskan oleh pihak kementerian perlu ada usaha penambahbaikan seperti kursus dan sebagainya supaya tahap kebolehpercayaan terhadap pentaksiran ini diyakini," katanya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuhkan mulai tahun ini dan penilaian murid akan dibuat menerusi PBS.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, murid akan dinilai menerusi PBD, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) selain Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan mengalu-alukan mekanisme. PBS kerana dilihat lebih adil dan menyeluruh namun sistem pentaksiran baharu itu perlu diperkemas dan diperkukuhkan.

Antaranya kata beliau, melibatkan soal biasness (menyebelahi pihak sekolah) yang membuat pentaksiran penilaian, tekanan kepada guru dan sekolah untuk meletakkan gred tertinggi, mutu pendidikan, penyelarasan peringkat negeri dan negara serta memastikan integriti para pentaksir berada di tahap sewajarnya.

"Dicadangkan kawalan mutu dan penyelarasan soalan-soalan dan pentaksiran tidak bias selain mewujudkan lembaga PBS peringkat kebangsaan untuk menilai mutu dan standard PBS.

"Pastikan ada bank soalan PBS untuk pelbagai peringkat, mewujudkan sesi ikrar integriti dan profesionalisme pentaksir PBS. Pastikan juga PBS dapat digunakan untuk kemasukan ke asrama-asrama penuh supaya PBS juga diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom mengakui PBS mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri namun berharap guru dan sekolah berlaku adil terhadap penilaian murid dan tidak berlumba-lumba dengan sekolah lain.

"Dengan sistem pentaksiran kali ini, guru dan sekolah tidak perlu lagi mengejar apa-apa keputusan sebaliknya membantu kepada perkembangan murid.

"Penilaian murid akan dilakukan setiap tahun, jadi guru dan sekolah tidak lagi terikat atau terlalu bergantung kepada keputusan peperiksaan," katanya.

Tahun lalu, Kementerian Pendidikan membuat keputusan untuk memansuhkan UPSR selepas 33 tahun peperiksaan berpusat itu diadakan.

Ini diikuti dengan pemansuhan PT3 setelah dilaksanakan pada 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Kini, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi satu-satunya peperiksaan berpusat di peringkat sekolah yang masih dijalankan setiap tahun di seluruh negara.



Post a Comment

0 Comments