Pedagogi sains disaran guna kaedah "Inquiry Based Science Education" - UPKO

Imej hiasan

Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan disaran memperkenalkan pedagogi sains seperti Inquiry Based Science Education (IBSE) sebagai kaedah baharu pengajaran dalam sistem pendidikan negara.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau, berkata pendidikan bidang sains selain teknikal dan vokasional (TVet) perlu ditingkatkan sejajar pemansuhan peperiksaan Pentaksiran Tahap Tiga (PT3).

Katanya, tumpuan terhadap bidang sains dan kemahiran penting untuk mempersiapkan diri pelajar berbanding penekanan dalam aspek akademik yang lebih kepada peperiksaan.

"Pedagogi perlu diubah untuk memenuhi tuntutan pendekatan baharu. Contohnya dalam bidang sains, penghayatan dan peningkatan minat terhadap sains lebih penting daripada pencapaian akademik.

"Oleh itu pedagogi sains seperti IBSE hendaklah menjadi sebahagian sistem pendidikan negara yang baharu. Kajian pelaksanaan IBSE sudah lama dibuat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

 Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Kementerian Pendidikan kelmarin, mengenai pemansuhan PT3 bermula pada tahun ini.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran, berkata penghapusan PT3 mampu mengurangkan pendekatan examination oriented dalam sistem pendidikan negara.

"Oleh sebab itu, penghapusan PT3 hendaklah menjadi satu pendekatan menyeluruh dalam sistem pendidikan negara dan bukannya satu pendekatan 'piecemeal'," katanya.

Pada masa sama, beliau menyarankan agar penilaian "Psychometric' diperkenalkan sebagai penilaian kendiri pelajar untuk mengetahui kekuatan, kelemahan dan juga bakat mereka.

Katanya, semua itu adalah untuk memperbaiki diri dan mengetahui haluan masa depan pengajian pelajar yang akan dibuat di peringkat universiti.

"Pendidikan TVet juga perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan seperti di Jerman.

"Langkah kita memperjuangkan penubuhan Malaysian Board of Techonologist (MBOT) ketika saya Menteri MOSTI adalah untuk memberi pengiktirafan dan pemerkasaan TVET di negara ini," katanya.

Previous Post Next Post