Adakah PBD guru telah mantap untuk ganti PT3, tanya penganalisis

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepatutnya menyediakan terlebih dahulu mekanisme yang lebih kukuh bagi menggantikan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) sebelum ia dimansuhkan.


Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berpandangan pemansuhan PT3 dilihat sebagai tindakan terburu-buru tanpa memikirkan bagaimana solusi terbaik yang boleh menjadi sama baik dengan PT3.

“Pada masa sekarang, kita setuju untuk diadakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mana di dalamnya ada Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan juga Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

“Persoalannya adakah PBD ini telah mantap sehingga boleh menggantikan PT3?

“Jelas ada rungutan dan aduan daripada ibu bapa serta guru-guru bahawa PBD masih belum mantap.

“PBD masih belum boleh dipercayai di mana ada isu-isu pelaksanaan sepenuhnya seperti mengisi borang yang terlalu banyak, pemarkahan yang boleh diubah-ubah dan pelbagai lagi hingga memperlihahatkan PBD itu tidak praktikal sebagaimana di dalam PT3 dan sebagainya,” katanya dalam program SKOP MG malam tadi.

Dengan tajuk Mansuh PT3, Ke Mana Hala Tuju Pendidikan Negara, Anuar berkata, ketiadaan mekanisme itu jelas boleh merosakkan sistem pendidikan di negara ini.

Beliau berkata, tidak hanya mekanisme malah isu kebolehpercayaan terhadap guru-guru dalam memberi penilaian juga perlu dititik beratkan.

“Ia bergantung kepada sikap profesional dan etika guru-guru. Benar, sekolah bukan seperti universiti yang ada jawatan kuasa dan kumpulan sepakaran.

“Saya fikir, ia perlu diwujudkan di sekolah juga kerana sebagai satu proses pentaksiran.

“Guru kelas memberi markah kepada pelajar tetapi markah akhirnya itu mestilah ditaksir secara bersama dengan guru-guru yang lain yang juga mengajar di dalam kelas sama.

“Dengan itu, akan berlakulah semak dan imbang antara guru-guru terhadap pemberian markah,” ujarnya.

Jelasnya, perkara itu tidak dinyatakan semasa pemansuhan di mana tiada mekanisme apa yang akan menjadi pengganti.

“Jika sekolah boleh mengikut pelaksanaan sama seperti di universiti menggantikan PT3, itulah mekanisme terbaik.

“Kita buang PT3, tapi diganti dengan mekanisme yang boleh meyakinkan ibu bapa di mana penilaian peringkat sekolah itu lebih tepat dan boleh dipercayai,” katanya.

Pada 2 Jun lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media khas memutuskan untuk memansuhkan sepenuhnya PT3 bermula tahun ini.

Beliau berkata, susulan pemansuhan itu, KPM akan memperkasa dan menambahbaik secara menyeluruh melalui PBS.

Dengan pemansuhan PT3, ia men jadi ujian atau peperiksaan kedua dimansuhkan selepas Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dibatalkan sepenuhnya pada tahun lalu. – MalaysiaGazette
Previous Post Next Post