PT3 Mansuh: Murid lega, ibu bapa bimbang


PETALING JAYA: Pengumuman pemansuhan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) oleh Kementerian Pendidikan (KPM) mendapat reaksi pelbagai daripada ibu bapa dan juga pelajar. 

Bapa kepada pelajar tingkatan tiga, Syaril Tahir, dari Ipoh berkata, meskipun sudah menjangkakan pemansuhan PT3 akan berlaku namun masih ada kebimbangan adakah anak bersedia atau tidak untuk belajar dalam sistem yang baru. 

“Bimbang itu ada sebab takut anak-anak tak sedia, nak sokong atau tidak, masih status quo macam mana pun, kalau kementerian dah putuskan kena ikutlah,” katanya kepada FMT. 

Menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, dia masih merasakan peperiksaan awam PT3 ini relevan untuk diguna pakai, kerana ia bagi menentukan hala tuju pembelajaran sebelum pelajar memasuki tingkatan empat dan lima. 

Kebimbangan turut diluahkan Saffri Kamaruddin, 46, yang turut gusar apabila PT3 dimansuhkan kerana risau jika anak hilang fokus dan matlamat dalam akademik apabila sudah tiada peperiksaan awam. 

“Terkejut apabila kerajaan umum mansuh PT3, saya sebagai bapa ini risau apabila tiada peperiksaan awam takut anak jadi ambil mudah, tiada matlamat dah hilang fokus dalam akademik sebab tak perlu nak risau buat persediaan untuk peperiksaan. 

“Sekarang terletak pada tanggungjawab guru, penilaian pun nanti ikut guru jadi ibu bapa ini pun kena fahamkan pula sistem baharu sebab nak tahu pencapaian anak di sekolah macam mana, markah dikira macam dan sebagainyalah,” katanya. 

Bagaimanapun, suri rumah Noor Hana Abd Hamid, 47, mempunyai pandangan berbeza dan menyokong pembaharuan yang dibawa kerajaan kerana ia lebih kepada kaedah pembelajaran secara menyeluruh tanpa perlu menekankan kepada gred semata-mata. 

Hana yang turut mempunyai anak di tingkatan tiga berkata, pembelajaran mengikut sistem PBS dilihat lebih seimbang kerana pelajar tidak perlu dibebankan lagi dengan penilaian akademik sebaliknya mereka juga dinilai mengikut kemahiran dan minat mereka. 

“Pelbagai bidang akademik dan kemahiran sesuai dengan pelajar, jadi tiada murid yang terpinggir lagi pun peperiksaan itu bukan penentu untuk kejayaan hidup zaman sekarang ini,” katanya. 

Sementara itu, bagi pelajar tingkatan tiga dari Selangor, Danial Saffri berkata, pemansuhan PT3 satu kelegaan kerana sudah tidak perlu terbeban dengan peperiksaan dan mengejar gred untuk semua subjek teras. 

“Lega juga bila PT3 dah tiada, kalau tak tertekan juga nak kejar gred, sebab tak semua dari kami pandai dalam akademik, jadi dengan sistem baru ini kami boleh tahu apa lagi potensi kami selain akademik,” ujarnya. 

Pelajar tingkatan tiga dari Perak, Yasmeen Shaarani pula berkata, dia menyambut baik usaha kerajaan memperkasa Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kerana ia dilihat menumpukan kepada pembelajaran secara praktikal. 

Dia turut bersetuju dengan pemansuhan PT3 selepas mengambil kira banyak silibus ketinggalan ketika di tingkatan satu dan dua susulan tidak dapat ke sekolah akibat pandemik Covid-19, 

“Setuju pun ya jugak, sebab kami yang ambil PT3 daripada tingkatan satu belajar silibus tak habis, dan sekolah pun ada penggiliran jadi banyak ketinggalan saya rasa okay kalau tiada,” katanya. 

Khamis lalu Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan ujian PT3 yang diperkenal pada 2014 dimansuhkan mulai tahun ini dan dengan pemansuhan itu, KPM akan memperkukuh PBS yang mengandungi tiga komponen iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

 

Previous Post Next Post