Sekolah bagai tiada fungsi jika mansuh SPM, STPM - Pusat Tuisyen

SEREMBAN: Cadangan supaya kerajaan memansuhkan semua jenis peperiksaan yang masih ada di sekolah seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) hanya menyebabkan institusi sekolah dilihat tidak mempunyai apa-apa fungsi.


Setiausaha Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Negeri Sembilan, Mohd. Badrul Azhar Zulkapli berkata, cadangan seumpamanya merupakan sesuatu yang keterlaluan dan bukan jalan penyelesaian dalam memperbaiki sistem pendidikan negara.

“SPM dan STPM ialah peperiksaan penting di peringkat sekolah menengah dan sekiranya dihapuskan, umpama menutup terus institusi pendidikan.

“Fungsi utama persekolahan adalah untuk melahirkan pelajar dan pemimpin berjaya pada masa hadapan ia hanya boleh dicapai melalui sistem peperiksaan yang sudah berlangsung sejak dahulu lagi.

“Memansuhkan peperiksaan bukan jalan penyelesaian yang baik terutama dalam sistem pendidikan kerana persekolahan dan peperiksaan sewajarnya tidak patut dipisahkan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas tulisan Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertajuk ‘Kita mesti berani mansuh SPM, STPM’ yang disiarkan dalam ruangan Forum akhbar Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Mohd. Badrul Azhar lagi, pemansuhan peperiksaan hanya akan melahirkan generasi yang tidak berdaya saing, malas dan tidak menunjukkan minat untuk belajar.

“Sistem pendidikan yang tiada peperiksaan cuma hanya melahirkan generasi yang tidak tahan dengan tekanan dan tidak berdisiplin.

“Peperiksaan merupakan salah satu tiket untuk membuktikan pencapaian mereka di sekolah dan betapa komitednya mereka untuk mengejar dan memahami erti kejayaan dalam hidup serta ada hala tuju. Perbaiki dan beri nafas baharu terhadap sistem peperiksaan, bukan mansuh,” katanya lagi. –UTUSAN ONLINE
Previous Post Next Post