Tabika KEMAS terima anugerah Reader's Digest

ABDUL Rahman Mohamad (tiga kanan) menerima Trofi Pengiktirafan Anugerah Jenama Dipercayai Readers Digest daripada Sheron White (tiga kiri). Gambar Ihsan KPLB.


Lipis: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menerima pengiktirafan sebagai jenama dipercayai dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di negara ini oleh majalah terkenal dunia, Reader's Digest buat kali ketiga. 

Anugerah itu disampaikan oleh Pengarah Pemasaran dan Pengiklanan Asia Pasifik Reader's Digest, Sheron White Selasa lalu. 

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kejayaan ini adalah hasil pelbagai inisiatif pelaksanaan Transformasi Tabika KEMAS yang dilancarkan pada 2016 melalui tiga modul utama iaitu Program Penghayatan Pendidikan Islam Kanak-Kanak Tabika KEMAS, Program Pemupukan Semangat Patriotik dan Program Keyakinan Diri. "

Penilaian Readers Digest berteraskan kepada tujuh aspek iaitu kualiti, inovasi, mutu, tanggungjawab sosial, kebolehpercayaan, kredibiliti dan memahami kehendak pengguna," katanya. 

Abdul Rahman berkata, pengiktirafan ini membuktikan Program Transformasi Tabika KEMAS mula menunjukkan hasil positif dan mampu menyediakan pendidikan dan perkhidmatan yang setanding dengan tabika swasta. 

Katanya, pencapaian ini sejajar dengan hasrat menjadikan tabika KEMAS sebagai pilihan utama ibu bapa dengan menyediakan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti serta melahirkan modal insan yang unggul. 

"Kita ucapkan tahniah kepada 10,206 orang Pendidik Masyarakat Tabika KEMASdalam memastikan institusi itu terus mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat dalam pendidikan awal kanak-kanak. 

"Sehingga kini, KEMAS mempunyai 11,229 kelas tabika dengan bilangan kanak-kanak seramai 220,200 orangdi seluruh negara," katanya.

 

Previous Post Next Post