Tak nak jumpa cikgu, rakan petanda calon SPM 2021 pergi selama-lamanya

Motosikal yang ditunggang Nurshafiq rosak teruk akibat bertembung dengan sebuah van di Kilometer 40, Jalan Batu Pahat- Mersing, semalam.

KLUANG: Tidak mahu berjumpa guru dan rakan-rakan pada hari pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM) 2021 menjadi petanda Nur Shafiq Hakim Raif, 18, akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya. 

Ibu mangsa, Zalina Kasan, 45, berkata, anak tunggalnya yang bersekolah di Sekolah Menengah Sains Sembrong menunjukkan perubahan sikap sehari sebelum kejadian itu. 

Dia juga harian apabila mangsa memakai baju milik ayahnya semalam. 

“Pagi semalam dia keluar rumah dua kali. Kali pertama tolong hantar kuih di Pejabat Daerah Kluang dan pulang ke rumah sebelum keluar lagi untuk bersarapan. 

“Dia juga berkata, ‘mama jangan tengok kita, dan menyuruh saya menutup pintu sewaktu kali terakhir itu,” katanya. 

Zalina berkata, dia mendapat perkhabaran duka kemalangan menimpa anaknya itu menerusi kumpulan WhatsApp keluarga yang menghantar mesej pencarian waris mangsa kemalangan. 

“Apabila saya tengok pautan ‘link’ itu dan gambar kad pengenalan yang ada, saya menjerit, menangis dan terperanjat kerana itu anak saya. 

“Saya terus menelefon anak saudara yang bekerja di hospital supaya mencari anak saya di wad kecemasan, tetapi dia meminta saya datang dahulu ke sana dan panggilan kali kedua daripadanya pula mengesahkan anak saya rupanya sudah meninggal dunia,” katanya sambil memberitahu Nurshafiq memperoleh keputusan 1A, 3B, 3C, 1E dalam SPM 2021 yang diumumkan semalam. 

Baik 

Dia menyifatkan anaknya itu seorang yang baik kerana suka membantu rakan-rakannya yang dalam kesusahan. 

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak, di sini kira-kira 9 malam tadi. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, dalam kemalangan di Kilometer 40 Jalan Batu Pahat – Mersing kira-kira 9.30 pagi semalam, mangsa cuba mengelak sebuah lori yang berhenti untuk memasuki simpang lalu bertembung dengan sebuah van dari arah Batu Pahat. 

“Motosikal ditunggang mangsa dari arah Kluang telah memasuki laluan bertentangan. Akibat kemalangan ini, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. 

“Pemandu van seorang lelaki warga tempatan berumur 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.- UTUSAN

 

Previous Post Next Post