Kerajaan diminta iktiraf pendidikan tak formal

Imej hiasan

Kuala Lumpur: Kerajaan diminta untuk mengiktiraf pendidikan tidak formal yang dilaksanakan oleh pihak industri bagi memberi peluang kepada golongan pelajar tercicir daripada akademik untuk meningkatkan pencapaian pendidikan melalui laluan kerjaya kemahiran.

Pengarah Bahagian Pembangunan, Produktiviti dan Daya Saing Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Mohamad Muzaffar Abdul Hamid, berkata pendidikan tidak formal perlu diarusperdanakan bagi memastikan pencapaian pendidikan rakyat Malaysia dapat dipertingkatkan.

Beliau berkata, pendidikan tidak formal merujuk kepada program peningkatan bakat yang dilaksanakan oleh industri bagi memenuhi keperluan mereka.

"Kita ada banyak pendidikan tidak formal yang dilaksanakan oleh pihak industri contohnya melalui program machine specialist technician bagi industri semikonduktor yang selama ini belum diiktiraf kerajaan.

"Justeru, sekarang kita mahu mengarusperdanakan pendidikan tidak formal dengan meminta kerajaan mengiktiraf program industri di mana ia boleh digunakan untuk meningkatkan pencapaian pendidikan," katanya kepada BH.

Mohamad Muzaffar berkata, pengiktirafan pendidikan tidak formal dalam arus perdana juga mampu melonjakkan purata tahun persekolahan Malaysia, sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia dalam aspek itu.

Katanya, MPC berusaha meningkatkan pencapaian pendidikan rakyat Malaysia dengan meletakkan pendidikan tidak formal dalam arus perdana menerusi pelaksanaan program Academy in Factory (AIF).

Peluang kedua cipta masa depan 

Katanya, melalui AIF, ia memberi peluang kedua bagi pelajar yang tidak menyerlah dalam pengajian akademik untuk 'mencipta' masa depan baharu di akademi berkenaan.

Selain itu katanya, pendidikan formal juga perlu diperkukuhkan dengan inovasi melalui kerjasama dengan industri, akademia dan kementerian.

"Kita sedang bekerjasama antaranya dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi tujuan itu," katanya.

Sehingga kini, AIF melatih lebih 300 tenaga kerja yang kini ditempatkan dalam industri dengan sasaran AIF ialah 10,000 pekerja daripada golongan sasar dapat dilatih sepanjang tahun ini.

Katanya, AIF mengambil individu yang sekurang-kurangnya tahu membaca, menulis dan mengira (3M) untuk dilatih selama 18 bulan sebelum digajikan oleh pihak industri.

"Kita akui sepanjang proses temu duga ada golongan terpaksa berhenti peringkat sekolah rendah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), khususnya Orang Asli kerana tiada akses internet atau kesempitan hidup.

"Namun, selagi mereka mahir dalam 3M, kita terima untuk mereka menyertai AIF bagi mengubah kehidupan mereka," katanya.

Selain itu, MPC juga bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengenal pasti mana-mana pelajar terdiri daripada golongan sasar yang mungkin lemah dalam akademik untuk dilatih melalui AIF.

Previous Post Next Post