Menteri Pendidikan & KPM, kamu berdosa kepada OKU! – Maszlee


SHAH ALAM: Bekas menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata kerajaan khusunya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berdosa kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU). 

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata demikian ketika membahaskan isu pendidikan dalam sesi perbahasan Kongres Nasional PKR ke-16 yang diadakan di IDCC Shah Alam pada Sabtu. 

Beliau membangkitkan isu mengenai kebanyakan golongan OKU sukar menyambung pengajian di peringkat tinggi kerana KPM menghentikan ‘zero reject policy’. 

“OKU adalah rahmat kepada negara, mereka adalah kurniaan Tuhan untuk masyarakat. Mengapa mesti mereka dinafikan daripada pendidikan? 

“Kenapa dihentikan ‘zero reject policy’? Radzi Jidin, Mah Hong Sen, Mohamad Alamin, kerajaan Malaysia, kamu berdosa kepada golongan OKU! 

“Dan kami bertekad, PKR, kita perjuangkan pendidikan OKU selama-lamanya di bumi Malaysia ini,” tegasnya. 

Beliau dalam ucapan perbahasannya turut membangkitkan isu mengenai keciciran pelajaran dalam kalangan pelajar sekolah dan mengajak akar umbi PKR turut bersamanya memperjuangkan Program Sarapan Percuma. 

“Kita ingin lakukan apa pun reformasi pendidikan, tidak boleh berharap hanya kepada menteri pendidikan, terhad, harusnya bermula dengan perdana menteri itu sendiri. 

“Ini kerana kita perlu ada perdana menteri yang cakna pendidikan, kita perlu perdana menteri yang ada visi pendidikan. 

“Kita tidak mahu perdana menteri yang terkongkong dan terperangkap pada zaman silam lampau ‘dinosaur’nya, kita perlu perdana menteri yang memahami derita rakyat dan hidup bersama rakyat. 

“Jikalau kita inginkan perdana menteri yang boleh menyokong reformasi pendidikan yang sebenar, memahami jiwa rakyat dan membawa negara ke hadapan, izinkan saya mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menterinya,” katanya ketika mengakhiri ucapannya.

Sumber: SumberKini

 

Previous Post Next Post