Perkasakan SK, tak perlu desak tutup sekolah vernakular


SERI KEMBANGAN: Desakan supaya sekolah vernakular ditutup hanya akan menimbulkan isu politik, malah tidak menjanjikan kejayaan untuk sekolah kebangsaan (SK), kata Tun Dr Mahathir Mohamad lapor Berita Harian. 

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu berpendapat, perhatian perlu ditumpu bagi mempertingkatkan kualiti SK untuk melahirkan pelajar yang berilmu. 

"Sekolah Cina atau Tamil, apa yang mereka boleh lakukan... bukan boleh menolong kejayaan kita. Kalau mereka ada, kita tak berjaya... kalau mereka tidak ada pun, kita tak berjaya. 

"Apa yang boleh dibuat dan diberikan keutamaan ialah kita perbaiki sistem pelajaran dalam pendidikan kebangsaan. Soal ada atau tidak sekolah Cina dan lain-lain itu, bukan keutamaan kita... sebaliknya, isu akan menimbulkan macam-macam masalah politik," katanya. 

Beliau mengulas isu kewajaran memansuhkan sekolah vernakular pada sesi soal jawab Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu, di sini, hari ini. 

Soalan itu timbul susulan terdahulu, beliau dalam ucaptama pada persidangan berkenaan meminta orang Melayu supaya menilai dan mengubah diri sendiri sebelum menggesa orang lain untuk berubah. 

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menyarankan supaya langkah berkesan diambil bagi memperbaiki aspek penting berkait SK terlebih dahulu, berbanding menutup sekolah vernakular. 

"Nak lakukan itu bukan mudah (menutup sekolah vernakular) tetapi kalau tanya diri kita di mana kita salah, lebih mudah untuk kita betulkan diri kita dahulu," katanya. 

Bahkan, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, pelajar bukan Melayu akan tertarik untuk menyertai SK jika sekolah berkenaan menawarkan sistem pendidikan bermutu tinggi. 

"Kalau tumpu perbaiki sistem pelajaran SK, saya yakin kita akan melahirkan pelajar yang bukan saja berilmu tetapi juga tahu cara menggunakan ilmu. 

"Yang boleh beri kemenangan kepada kita adalah perbaiki sistem pelajaran kita," katanya. 

Ketika ditanya mengenai Sekolah Wawasan yang pernah diperkenalkan dulu pula, Dr Mahathir menzahirkan keyakinan bahawa sekolah itu dapat memupuk perpaduan sekiranya dilaksanakan, namun pada masa sama percaya SK juga mampu berbuat demikian jika mutunya ditingkatkan. 

"Sekolah Wawasan hanya ada sebuah kampus dan tiga jenis sekolah. Sekurang-kurangnya, pelajar dapat bersama pada perhimpunan dan mendengar tajuk yang sama, itu permulaan," katanya.

 

Previous Post Next Post