Segerakan lulus kenaikan kadar RMT - Pengusaha Kantin

Imej hiasan

SEREMBAN: Akhbar Utusan Online melaportkan golongan pengusaha kantin sekolah meminta supaya kerajaan segera meluluskan kenaikan kadar pemberian Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada murid-murid sekolah rendah seperti yang disyorkan oleh pihak Kementerian Kesihatan baru-baru ini.

Menurut Utusan, seorang pengusaha kantin di daerah ini, Mohd. Yusri Jaafar, 48, berkata, kadar ditetapkan sekarang iaitu pada harga RM2.50 di Semenanjung dan RM3.00 bagi murid di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sudah lagi tidak relevan ketika harga bahan mentah terus melambung.

“Bagaimanakah pada harga RM2.50 itu kami perlu menyediakan menu hidangan lengkap dengan nasi dan lauk, sepotong buah dan air coklat ataupun air mineral. Kos penyediaan air coklat itu sahaja sebenarnya sudah RM1 secawan.

“Jika diikutkan, satu set menu tersebut sepatutnya adalah pada harga sekurang-kurangnya RM3.50. Selama ini kami seperti memberi sumbangan sahaja sebanyak RM1 kepada setiap murid penerima RMT, sekiranya ada 200 orang murid penerima RMT, tidakkah sebanyak RM200 sehari perlu kami tampung?

“Semua pengusaha kantin memang mengeluh dalam isu kadar RMT ini, apabila kami berkumpul isu ini yang kami bincangkan dan masing-masing tidak mampu berbuat apa-apa. sekarang ini harapan kami agar kerajaan dapat meluluskan segera cadangan tersebut supaya Kementerian Pendidikan dapat menetapkan harga baharu,” katanya ketika dihubungi akhbar tersebut di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya mencadangkan kadar RMT bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung Malaysia dan RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Ujar beliau, RM2.50 bagi murid di Semenanjung Malaysia dan RM3 di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kos bahan mentah mengikut menu RMT.

Khairy berkata, beliau akan mengemukakan syor agar peruntukan Kementerian Pendidikan bagi RMT ditingkatkan kepada Kabinet bagi memastikan murid mendapat makanan berkhasiat.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md. Desa berkata, beliau menyambut baik kenyataan Khairy tersebut dan bersetuju bahawa kadar baharu seperti yang dicadangkan tersebut sudah memadai buat masa sekarang.

“Kami juga dengar pandangan daripada pengusaha-pengusaha kantin yang lain, bagi kami kadar RM4 ini sudah cukup baik bagi penyediaan RMT ini, kami cukup bersyukur jika ia menjadi realiti. Kami minta ia naik untuk RM1.50 sahaja lagi, lagipun sudah tujuh tahun kadar RMT ini tidak disemak semula.

“Pengusaha kantin memang minta supaya kadar ini dinaikkan secepat mungkin jangan tunggu lagi kerana kami telah lama menanggung kos kenaikan harga barang. Lagipun pihak persatuan juga telah berkali-kali memperjuangkan isu ini, saya harap buat kali ini, keluhan kami ini dapat didengari,” katanya.

RMT dikelola, diselia dan dilaksanakan sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan bermula tahun 1979 yang bertujuan memberi makanan tambahan kepada murid-murid sekolah rendah, terutamanya dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah bagi memperbaiki keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan.

Tempoh pelaksanaan RMT adalah tidak melebihi 190 hari persekolahan dengan peruntukan sebanyak RM2.50 bagi seorang murid sehari di Semenanjung Malaysia dan RM3 bagi seorang murid sehari di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. 

Sumber asal – UTUSAN ONLINE

Previous Post Next Post