Sistem pendidikan sekarang perlu tumpu dunia teknologi - Tun M

Dr Mahathir (tengah) bergambar bersama peserta Wacana Halatuju Sistem Pendidikan dan Pembelajaran Dalam Talian Negara 2021 PTTI yang berlangsung di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Sistem pendidikan negara perlu segera diubah seiring dengan perubahan iklim dunia yang tertumpu kepada dunia teknologi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah berkenaan perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap pelajar mampu dilengkapkan dengan ilmu baharu yang lebih memenuhi pasaran pekerjaan. 

“Saya berpendapat bahawa (sebelum ini) sistem pendidikan atau pelajaran hendaklah menyediakan pelajar yang berkebolehan (semata-mata) untuk masa depan mereka. 

“Tetapi masa depan (kini) berbeza dari dahulu, sekarang ilmu berkenaan komunikasi dan segala bidang elektronik lebih diperlukan di mana (ketika ini) kita boleh berhubung tanpa tali (melalui teknologi) di seluruh dunia.

“Jadi pelajaran hendaklah sesuai dengan iklim di sekeliling dan sebab itu sistem pelajaran perlu ditukar mengikut aliran masa.

“Apabila masa bertukar, sistem pelajaran turut perlu ditukar supaya sesuai untuk masa depan pelajar,” katanya dalam program Wacana Halatuju Sistem Pendidikan dan Pembelajaran Dalam Talian Negara 2021 PTTI. 

Tambahnya, kualiti pendidikan negara boleh dipertingkatkan jika kerajaan menumpukan penggunaan teknologi semasa secara menyeluruh.

“Teknologi bergerak terlalu pantas, hampir setiap hari kita perlu menerokai sesuatu yang baharu. 

“Pelajar-pelajar perlu didedahkan dengan penggunaan teknologi semasa tetapi dalam masa sama memastikan mereka tidak menyalahgunakannya untuk tujuan yang tidak sepatutnya,” katanya. 

Sementara itu, dalam majlis sama pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI meraikan penghargaan kepada 335 pelajar cemerlang SPM 2021.

Dr Mahathir turut meluangkan masa menyampaikan anugerah penghargaan kepada pelajar berkenaan. 

Sinar Harian

 

Previous Post Next Post