UUM tamatkan 9 program akademik

KUALA LUMPUR: Universiti Utara Malaysia (UUM) turut melaksanakan tindakan sama dengan Universiti Malaya (UM) apabila menghentikan sembilan program akademiknya berikutan ia tidak praktikal selain tiada lagi permintaan di pasaran.

Naib Canselornya, Prof Dr Haim Hilman Abdullah, berkata rentetan tindakan itu, UUM menggantikan lapan program akademik baharu yang bersifat kompetitif dan 'mesra' industri.

Beliau berkata, pemansuhan program akademik itu tidak memberi kesan kepada pelajar berikutan tiada lagi permintaan terhadap program terbabit.

"Punca kita hentikan adalah kerana program akademik itu tidak lagi popular, selain jumlah graduannya yang rendah. Atas dasar itu kita menawarkan program baharu yang lebih terkini.

"Antara program yang kita jumudkan (hentikan) ialah Diploma Siswazah Sains Koreksional; Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perakauanan) dan Diploma Siswazah Dalam Pendidikan.

"Ia dilakukan secara berperingkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini selari dengan tindakan di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan sudut pandang Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan UM menghentikan 20 program akademiknya selepas kajian mendapati ia tidak lagi relevan dengan keperluan pasaran dan keadaan semasa.

Sementara itu, sekurang-kurangnya empat universiti tempatan lain mengesahkan tidak bercadang untuk memansuhkan program akademik sedia ada, sebaliknya melaksanakan penambahbaikan program di institusi masing-masing.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, berkata walaupun tiada pemansuhan, pihaknya menambahbaik beberapa program, hasil semakan pihaknya sebelum ini.

Beliau berkata, sebanyak 131 program akademik di UiTM melalui semakan kurikulum sejak 2020.

"Penambahbaikan itu membabitkan aspek kandungan dan nama program mengikut proses MQA dan KPT.

"Kita mempunyai 518 program dan sentiasa melakukan semakan dari masa ke semasa serta menambah baik program mengikut prosesnya," katanya.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar, berkata selain menambahbaik program akademik sedia ada, UMT akan mewujudkan program baharu yang membolehkan graduan universiti itu mencipta peluang pekerjaan.

Beliau berkata, antara program akademik baharu yang akan diwujudkan atau dikembangkan membabitkan bidang teknologi pertanian, logistik maritim dan perikanan.

"Kita menjangkakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi program baharu atau yang dikembangkan ini boleh disediakan kepada pelajar selepas mendapat kelulusan MQA," katanya yang memaklumkan UMT mempunyai kurang daripada 30 program akademi ditawarkan di universiti itu.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman, berkata universiti itu turut mengambil tindakan sama dengan mengkaji mana-mana program yang tidak mempunyai nilai kebolehpasaran sebelum ia ditambah baik.

Beliau berkata, pihaknya merujuk kepada kajian kebolehpasaran graduan dilaksanakan KPT sebagai penanda aras sebelum melihat mana-mana program yang perlu ditambah baik.

Beliau berkata, sejak 2021 sehingga kini, sebanyak 50 program prasiswazah dan satu program pasca siswazah disemak dan ditambah baik oleh UPM.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata universiti itu mengambil langkah menambah baik program yang kurang mendapat sambutan dengan melaksanakan proses semakan semula kursus dan program serta penstrukturan program.

Beliau berkata, selain itu, ia turut membabitkan penyertaan industri, organisasi swasta dan kerajaan untuk memberi nilai tambah kepada program akademik.

Previous Post Next Post