110 sekolah laksana projek rintis kelas hibrid


PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan projek rintis membabitkan 550 kelas hibrid di 110 sekolah terpilih di seluruh negara bermula November depan. 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ia adalah sebahagian pelan transformasi KPM bagi memperkasa pendidikan digital negara. 

"Sebanyak 110 sekolah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan dipilih dengan setiap lima bilik darjah sekolah terbabit akan ditingkatkan sambungan internet untuk membolehkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan secara hidbrid. 

"Bermakna guru boleh mengajar dalam bilik darjah dan pada masa sama murid boleh terbabit sama dalam proses itu dengan aktif menerusi penggunaaan komputer riba dan skrin pintar di dalam kelas. 

"Pada masa sama juga, murid di sekolah lain dapat akses kepada pengajaran yang dilaksanakan oleh guru terbabit. 

"Dalam konteks ini ia memudahkan perkongsian pengajaran, yang mana guru di sekolah tertentu ingin membawa murid mereka mengikuti pembelajaran atau topik tertentu dengan guru lain di sekolah lain," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Transformasi Pendidikan : Pemerkasaan ICT di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Radzi berkata, pihaknya kini pada peringkat akhir untuk proses pemilihan sekolah bagi memastikan kelas berkenaan dapat diadakan dengan kadar segera. 

"Sasaran kita November ini ia sudah dapat dilaksanakan, kalau boleh nak laksanakan segera, namun ada kekangan tertentu dalam soal bekalan peralatan. 

"Kita juga akan lihat keberkesanan projek ini, impaknya kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) sebelum melihat sebarang keperluan untuk memperluaskannya ke sekolah lain kerana perlu mengambil kira peruntukan diperlukan, ia membabitkan kos yang agak tinggi," katanya. 

Beliau berkata, keutamaan projek itu bagaimanapun, bertujuan memastikan murid didedahkan dengan PdP yang lebih kreatif dan inovatif dengan kerjasama guru seluruh negara. 

"Kita akan tingkatkan hubungan capaian internet di bilik darjah terbabit supaya kelajuannya dapat penuhi keperluan untuk laksanakan kelas hibrid ini. 

"Dalam lima bilik darjah ini kita akan sediakan televisyen pintar dan peranti berkaitan untuk membolehkan guru yang sedang mengajar boleh dilihat secara langsung oleh murid yang lain. 

"Maknanya, kalau lepas ini cikgu hendak berkongsi PdP dengan guru di sekolah lain, dan kalau cikgu sekolah A nak bagi murid sekolah lain tengok, ia dibuat secara dalam talian dan secara langsung. 

"Begitu juga situasi sekiranya ada cikgu yang tidak hadir sekolah, ajar subjek Sains, tidak ada cikgu hendak mengajar, jadi boleh bawa masuk dalam kelas hibrid ini, masuk dalam siaran berkaitan, sekolah mana yang ada ajar subjek sama ketika itu, murid boleh tengok cikgu sekolah terbabit mengajar," katanya. 

Ditanya sama ada platform tertentu akan digunakan bagi kemudahan mengakses pengajaran kelas berkenaan, beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan kemudian. 

"Dalam masa terdekat kita akan maklumkan bagaimana untuk akses, mungkin guna aplikasi DELIMa, atau 'Digital Educational Learning Initiative Malaysia', jadi contohnya cikgu sekolah B sedang mengajar subjek Sains, sekolah A nak tengok juga, jadi akan ada pendekatan atau sistem diguna untuk akses kepada pengajaran itu nanti," katanya. 

Sementara itu mengulas cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya kerajaan meningkatkan Cuti Rehat Khas (CRK) guru daripada 10 kepada 14 hari, Radzi berkata, pihaknya akan melihat cadangan berkenaan sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat. 

Baru-baru ini, Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata cadangan itu selaras peningkatan jumlah maksimum pengumpulan gantian cuti rehat (GCR) penjawat awam daripada 150 hari kepada 160 hari bagi award gantian tunai (golden hand shake) seperti dibentangkan pada Belanjawan 2022.

 

Previous Post Next Post