Guru berputih mata, Perodua Alza baharu kena langgar

Sumber: Media Sosial

TAMPIN - Seorang guru terpaksa berputih mata apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang baharu dibeli dua hari terbabit dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 36 Jalan Tampin Gemas, Jalan Kampung Sungai Dua di sini pada Selasa.

Difahamkan mangsa merupakan seorang wanita berusia 37 tahun.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, kejadian kira-kira jam 5.55 petang itu membabitkan kenderaan mangsa, Perodua Kancil, Proton Saga dan sebuah kereta jenis Hyundai.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kereta Perodua Alza berkenaan dari arah Gemencheh menuju ke Bukit Jalor Air Kuning Selatan.

"Mangsa telah berhenti di simpang Jalan Kampung Sungai Dua-Air Kuning Selatan bersama sebuah kereta Perodua Kancil di belakangnya untuk masuk simpang yang sama.

“Namun sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 18 tahun terus keluar dari simpang iaitu dari arah Air Kuning Selatan ke arah Gemas," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Rabu.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan Proton Saga terbabit telah berlanggar kereta jenis Hyundai yang melalui jalan utama iaitu dari arah Gemas ke Tampin.

Tambahnya, kejadian berkenaan menyebabkan pemandu kereta Hyundai hilang kawalan dan melanggar kereta Perodua Alza yang menunggu untuk membelok.

"Pemandu kereta Perodua Kancil luka di kepala dan mendapat rawatan di Hospital Tampin sebagai pesakit luar.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (LN 166/1959)," katanya.

Sementara itu, gambar kemalangan itu yang tular di media sosial mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya menyatakan rasa simpati terhadap pemilik Perodua Alza tersebut kerana baharu saja mendapat kereta baharu.

Artikel Penuh : Sinar Harian

Previous Post Next Post