Kes buli MRSM disiasat bawah akta perbuatan khianat, bukan gangsterism


KUANTAN - Tiada sebarang elemen gengsterisme yang wujud dalam dakwaan kes buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MSRM) Kuantan. 

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, itu dapatan hasil siasatan awal yang dijalankan pihak polis berhubung laporan dibuat ibu kepada pelajar terbabit. 

“Kita sudah merakam percakapan mereka yang terlibat seperti guru-guru, pelajar-pelajar termasuk ibu mangsa bagi membantu siasatan kes itu. 

“Jadi, siasatan awal mendapati tidak wujud sebarang unsur gengsterisme dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi pada Isnin. 

Beliau menjelaskan, dua laporan diterima daripada ibu mangsa dan warden MSRM berhubung kes itu. 

Bagaimanapun katanya, kes itu hanya disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat terhadap pelajar terbabit. 

Pada Jumaat lalu, polis mengesan satu hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook bernama Nazrah Mohamed mendakwa berlakunya kejadian khianat terhadap pelajar MRSM. 

Dalam hantarannya itu, ibu mangsa mendakwa wujud perbuatan khianat dan budaya gengsterisme di sekolah itu. 

Wanita itu dikatakan turut berkongsi gambar baju sekolah anaknya yang diconteng dan rambut digunting ketika tidur. 

Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi netizen sehingga menerima 10,000 komen dan dikongsi 22,000 kali. 

Sehubungan itu, polis Kuantan menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang- wenangnya memuat naik sebarang hantaran dan perkongsian yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

 

Previous Post Next Post