MARA kekalkan polisi hantar pelajar ke luar negara - Mahdzir Khalid

Mahdzir (tiga dari kanan) meninjau beberapa gerai sempena program Jom Masuk Kampung, Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat dan agihan zakat FELCRA Berhad di Pantai Geting, hari ini. - NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR

TUMPAT: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan meneruskan penghantaran pelajar di bawah tajaannya untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk pendidikan, meskipun berdepan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu.

"Kita akan teruskan hantar pelajar Malaysia ke luar negara yang mendapat tajaan MARA, tiada tekanan (dari segi kewangan).

"Setiap tahun apabila buat bajet, memang letak siap-siap untuk pendidikan, jadi tak perlu susah hati," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat dan Agihan Zakat FELCRA Berhad di Pantai Geting, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Mas Rizal Mohd Helmi dan Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, dasar MARA untuk menghantar pelajar tajaannya ke luar negara adalah berdasarkan bidang tumpuan dan pemilihan pelajar pula berdasarkan kesesuaian semasa.

Katanya, MARA turut memilih universiti terkemuka yang berada dalam senarai tangga 50 ternama di dunia.

"Hari ini orang bercakap pasal teknologi digital, perubahan iklim, tenaga lestari, kecerdasan buatan (AI)...ini antara bidang yang diberi tumpuan, selain bidang sedia ada seperti kejuruteraan serta aeroangkasa," katanya.

Sumber: BH Online

Previous Post Next Post