50 peratus penjawat awam belum mampu miliki rumah

MELAKA: Kira-kira 50 peratus daripada 1.62 juta penjawat awam di Malaysia masih belum mampu memiliki rumah sendiri berikutan gaji minimum sektor itu disifatkan sebagai tidak lagi relevan kini, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat. 

Katanya, gaji minimum sedia ada menyukarkan kerajaan untuk mencapai sasaran pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan dan matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 

Justeru, beliau berkata, penetapan gaji minimum baharu RM1,800 penting bagi memastikan penjawat awam bukan saja dapat memiliki rumah sendiri, malah mampu menyediakan perbelanjaan pengangkutan, pendidikan, kesihatan serta makan dan minum untuk keluarga. 

"Unjuran gaji kita menyebabkan penjawat awam tidak layak untuk membeli rumah, terutama di bandar besar. Bagi mereka yang layak pula, rumah dibeli ada yang terbengkalai berpuluh-puluh tahun, manakala ada yang tinggal di bandar besar hanya mampu menyewa bilik. 

"Gaji minimum kami ketika ini bagi lantikan pertama dicampur dengan imbuhan tetap khidmat awam, imbuhan tetap perumahan dan elaun COLA (sara hidup), maknanya baru menghampiri RM1,900... jauh di bawah pendapatan garis kemiskinan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Persidangan Perwakilan Tritahunan CUEPACS Melaka Sesi 2022-2025, di sini, hari ini. 

Persidangan itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari, dan turut dihadiri Pengerusi CUEPACS Melaka, Norman Taib. 

Mengulas lanjut, Adnan menjelaskan walaupun terdapat projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), jumlah unit yang layak dibeli berdasarkan gaji minimum sedia ada masih tidak mencukupi kerana kebanyakan harga rumah terbabit di luar kemampuan penjawat awam. 

Selain itu, beliau berkata, isu rumah terbengkalai dalam tempoh yang lama, khususnya di Kelantan dan Sarawak, menyebabkan penjawat awam terpaksa mengeluarkan perbelanjaan bulanan bagi membiayai pinjaman perumahan serta sewa rumah. 

"Ketika ini, CUEPACS menerima banyak aduan bahawa pinjaman telah diluluskan dan dibayar sepenuhnya oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kepada pemaju, namun rumah tidak siap dan tidak boleh diduduki. Lebih teruk lagi, terdapat rumah berkenaan yang hanya ada tiang tetapi gaji penjawat awam dipotong setiap bulan. 

"Justeru, kita memohon moratorium daripada LPPSA agar penjawat awam tidak dibebani dengan pembiayaan pinjaman perumahan dan sewa rumah," katanya. – BERNAMA
Previous Post Next Post