Guru bersara awal punca sekolah mengalami kekurangan guru

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon (tiga, kanan) melawat galeri Tsung Wah selepas merasmikannya di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tsung Wah hari ini.


KUALA KANGSAR: Tindakan guru yang memilih untuk bersara awal sejak kebelakangan ini menyebabkan terdapat sekolah mengalami kekurangan guru bahasa walaupun pengambilan secara one-off atau sekali pengambilan dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM). 


Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata KPM bagaimanapun sentiasa komited melaksanakan pelbagai usaha berterusan bagi mengatasi masalah kekurangan guru. 

"Untuk pengambilan one-off sejumlah 18,702 guru, kita sudah dapat lebih daripada 100 guru bahasa Cina untuk seluruh negara. 

"Jadi, pihak kementerian sentiasa berusaha untuk memastikan jumlah tenaga pengajar yang mencukupi untuk semua sekolah. Pelbagai usaha telah kita ambil dan mana-mana yang sesuai telah kita buat (untuk mengatasi masalah kekurangan guru)," katanya kepada media selepas merasmikan galeri Tsung Wah dan sesi ramah mesra bersama pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tsung Wah di sini hari ini. 

Beliau diminta mengulas mengenai masalah kekurangan guru bahasa iaitu bahasa Inggeris, Cina dan Tamil di seluruh negara meskipun 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) Gred DG41 secara one-off telah dilantik dalam pengambilan khas bagi mengisi kekosongan guru di sekolah KPM di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) tahun lalu. 

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dipetik berkata, KPM meneliti masalah kekurangan guru mata pelajaran bahasa Inggeris di Kelantan yang berlaku sejak sekian lama dalam usaha memastikan murid-murid di negeri ini menerima tenaga pengajar yang memiliki ikhtisas sepatutnya. 

Radzi berkata sekolah di Kelantan kekurangan seramai 450 guru bahasa Inggeris di sekolah rendah dan lebih 200 di sekolah menengah dan kekurangan itu ditampung oleh guru bukan opsyen yang mendapat latihan serta dikenal pasti berkemampuan untuk menyampaikan pengajaran mata pelajaran berkenaan. – BERNAMA
Previous Post Next Post