Guru Besar KUP DG52 kekal jawatan, tidak perlu jadi guru biasa - Radzi Jidin

TANJUNG MALIM - Kementerian Pendidikan memutuskan untuk terus mengekalkan jawatan guru besar sebagai pentadbir yang menyandang gred DG52, tanpa perlu kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah. 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, persetujuan itu diperoleh hasil perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan baru-baru ini. 

Menurutnya, menerusi perbincangan itu, semua guru terlibat yang telah mencapai gred DG52 akan kekal berada di sekolah sebagai guru besar mengikut tempoh sedia ada. 

"Di peringkat kementerian, kita dah bincang lama perkara ini dan langkah seterusnya yang dibuat adalah duduk dengan agensi Pusat iaitu JPA dan Kementerian Kewangan. 

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk ucapkan jutaan terima kasih kepada kedua-dua agensi ini atas persetujuan bagi membolehkan guru ini kekal berada di sekolah sebagai guru besar," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Eksplorasi Alam Lestari Siri Ketiga anjuran Yayasan Didik Negara (YDN) dan FGV Holdings Berhad di Pusat Perlindungan Hidupan Liar di Sungkai. 

Mohd Radzi berkata, pengekalan jawatan guru besar itu bagaimanapun akan disokong dengan beberapa pendekatan yang telah dipersetujui bersama antara kementerian. 

Mohd Radzi bersama peserta Eksplorasi Alam Lestari melihat anak tenggiling yang baru dilahirkan di Pusat Perlindungan Hidupan Liar di Sungkai.

Mohd Radzi bersama peserta Eksplorasi Alam Lestari melihat anak tenggiling yang baru dilahirkan di Pusat Perlindungan Hidupan Liar di Sungkai.

"Perincian beberapa pendekatan ini akan diumumkan kemudian. Insya-ALLAH dalam masa terdekat ini kerana perkara pentingnya, guru-guru yang dikatakan ini boleh kekal sebagai guru besar dan tidak perlu kembali (mengajar) ke sekolah," katanya.

Beliau turut memberi jaminan, keputusan mengekalkan jawatan guru besar sebagai pentadbir itu tidak mengganggu proses kenaikan pangkat guru-guru lain. 

"Dalam konteks ini, tidak akan menimbulkan masalah kerana mereka ini pentadbir sekolah, nanti akan ada pentadbir yang bersara dan yang baru dipilih. Perkara ini akan berterusan," katanya. 

Sebelum ini media melaporkan kira-kira 200 guru besar di Semenanjung yang akan dinaikkan ke gred DG52 dalam tempoh dua tahun ini buntu memikirkan nasib mereka yang dikatakan akan 'turun pangkat' dengan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

Kesatuan Guru Kebangsaan Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) mahu kajian semula dilakukan terhadap perkara itu memandangkan kebanyakan guru besar yang bakal dinaikkan ke gred DG52 masih muda dan tempoh untuk bersara masih jauh.
Previous Post Next Post