PENAMPANG, 2 Sept — Empat gadis Sabah dari sebuah sekolah luar bandar di daerah Kota Belud akan ke mahkamah akhir bulan ini dalam usaha menyaman bekas guru mereka kerana gagal hadir ke kelas selama hampir setahun.
Bekas pelajar SMK Taun Gusi Siti Nafirah Siman, Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali dan Calvina Angayung menyaman bekas guru mereka, Mohd Jainal Jamran, dalam dua saman berasingan kerana tidak hadir ke kelas subjek Bahasa Inggeris mereka selama tujuh bulan pada 2015 dan empat bulan pada tahun 2017.
Mereka juga menamakan bekas pengetua sekolah itu Suid Hanapi, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Ketua Pengarah Pelajaran, Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia dalam saman mereka kerana gagal menjamin hak mereka untuk pendidikan.
Siti Nafirah, kini berusia 22 tahun, mendakwa guru itu gagal hadir ke kelas untuk mengajar dari Februari hingga Oktober 2015 dan turut menamakan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Ketua Pengarah Pelajaran, Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia kerana dia mendakwa defendan tidak mengambil tindakan yang munasabah walaupun telah dimaklumkan mengenai perkara itu. Dia memfailkan samannya pada 2018.
Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali dan Calvina Angayung, kini 20, memfailkan saman itu pada 2020, mendakwa Mohd Jainal enggan memasuki kelas mereka dari Mac hingga Julai 2017 ketika mereka berusia 16 tahun.
Dalam sidang media di sini hari ini, keempat-empat mereka memberitahu media bahawa Mahkamah Tinggi tahun lepas telah memberikan mereka injunksi bagi perintah sekatan terhadap Mohd Jainal, bekas pengetua Suid Hanapi dan pegawai Kementerian Pendidikan yang mengganggu dan mendesak mereka supaya lepaskan kes itu.
Perbicaraan ketiga-tiga mereka dijadualkan bermula 5 September, kira-kira dua tahun selepas mereka memfailkan kes di mahkamah, manakala kes Siti Nafirah akan bermula pada 12 September, empat tahun selepas dia memfailkan kesnya.
Siti Nafirah, kini seorang suri rumah, berkata dia tidak sabar untuk kes dia dan bekas rakan sekolahnya dibicarakan di mahkamah terbuka.
“Saya mahu seluruh Malaysia mendengar daripada pihak saya dan pihak kementerian. Saya mahu bukti dikemukakan di mahkamah terbuka. Saya mahu anda melihat apa yang saya lihat. Kemudian, biarkan hakim bebas menyoal kita semua,” katanya.
Calvina, kini pelajar universiti dalam bidang politik dan kerajaan, berkata akibat tindakan Mohd Jainal itu, bahasa Inggeris adalah satu-satunya subjek yang gagal dalam peperiksaan SPM, yang mungkin menyebabkan dia kehilangan anugerah pelajar.
Nur Natasha bekerja di butik manakala Rusiah kini menganggur.
Empat plaintif akan diwakili peguam Roxana Jamaludin, Shireen Sikayun, Jubili Anilik dan Dominic J Omok.