KPM terap konsep pembangunan kondusif terhadap bangunan sekolah baharu

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin melawat pameran yang disediakan ketika hadir pada Majlis Transformasi Pendidikan: Infrastruktur Pendidikan yang Selamat dan Kondusif di Sekolah Sultan Alam Shah, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) kini menerapkan konsep pembangunan kondusif terhadap pembinaan bangunan sekolah baharu atau tambahan bagi mengoptimumkan peruntukan yang digunakan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ia bakal membabitkan reka bentuk yang lebih praktikal dengan mengambil kira semua maklum balas yang diterima dari lapangan.

Beliau berkata, ia termasuk isu reka bentuk tandas sekolah yang sering dibangkitkan ibu bapa dan murid kerana kemudahan sedia ada yang tidak selesa.

Katanya, tandas sekolah sedia ada ketika ini berkonsepkan tandas basah dan tidak mempunyai pengudaraan yang baik menyebabkan ada antara pelajar yang mengelak untuk makan di sekolah supaya tidak perlu ke tandas sepanjang sesi persekolahan.

"Dalam konteks pembangunan baharu ini, bila kita cakap soal transformasi kita juga melihat reka bentuk tandas itu sendiri supaya ada pengudaraan dan lebih cepat kering serta tidak berbau.

"Apa yang lebih penting keadaan keseluruhannya adalah lebih bersih.

"Berikutan itu, KPM melihat secara keseluruhan beberapa perkara lain berkaitan reka bentuk sekolah dengan penekanan diberikan kepada pembangunan yang kondusif," katanya pada sidang media selepas Majlis Transformasi Pendidikan: Infrastruktur Pendidikan yang Selamat dan Kondusif, di Sekolah Alam Shah, di sini, hari ini.

Sumber: Berita Harian

Previous Post Next Post