Lima remaja pecah masuk sekolah ditahan

Iskandar Puteri: Lima remaja lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes pecah masuk sekolah di sekitar Gelang Patah di sini.

Empat daripada suspek ditahan kira-kira jam 11 malam kelmarin di Kampung Melayu, Gelang Patah di sini, manakala seorang lagi ditahan semalam.

Mereka yang berusia antara 15 hingga 17 tahun itu ditahan pasukan khas Balai Polis Gelang Patah dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Iskandar Puteri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, siasatan awal mendapati semua suspek itu didapati memecah masuk Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Perintis 1 dan SK Taman Nusantara pada 19 September lalu dan kelmarin.

"Modus operandi suspek ini mereka akan mengumpil pintu dan memotong kunci jeriji sebelum masuk lalu menyelongkar ruang pejabat serta bilik guru sekolah.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati semua suspek terbabit dalam kejadian itu," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara barang yang hilang dalam insiden itu adalah sebuah tablet dan wang tabung sekolah kira-kira RM2,000.

Katanya, semua suspek yang tidak bersekolah itu kini ditahan reman tujuh hari bagi siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Previous Post Next Post