“Mansuhkan saja subjek sejarah di sekolah, ia tak menguntungkan”

Secara amnya, subjek sejarah dianggap antara subjek paling bosan di sekolah. - Gambar hiasan

TEMPOH hari ada seseorang bertanya pada saya: "Daripada negara-negara yang pernah saya kunjungi, apa benda yang paling saya mahu bawa pulang ke tanah air?"

Tidaklah begitu banyak negara di dunia ini yang telah saya jejakkan kaki, masih boleh dikira dengan jari.

Tapi ada satu benda yang amat berharga di negara-negara tersebut yang saya harap dapat disaksikan oleh rakyat di negara ini. 

Sekitar bulan ini tahun lepas, saya berpeluang untuk terbang ke Turkiye bersama rakan penerbit, Linda Salim atas jemputan Kementerian Budaya dan Pelancongan negara itu untuk membuat liputan terhadap sebuah penemuan besar yang mengubah naratif sejarah peradaban manusia. 

Di tenggara negara itu, di Sanliurfa, wilayah pertemuan antara bumi Anatolia dengan Mesopotamia, bumi kelahiran Nabi Ibrahim a.s., ditemukan monumen purba berusia sekitar 12,000 tahun yang dipercayai medan sosial tertua di dunia yang diketahui setakat ini.

Penemuan tersebut sekali gus mengubah pemahaman terhadap manusia zaman Neolitik yang selama ini dianggap hidup secara nomad dan berburu, dan monumen di Göbeklitepe itu membuktikan bahawa manusia pada zaman tersebut sudah mula hidup secara bermasyarakat dengan sistem organisasi sosial yang teratur.

Bertitik-tolak daripada penemuan tapak purba itu, ditemukan lagi 12 tapak arkeologi di sekitarnya yang didapati dari sekitar zaman yang sama, lantas usaha dipergiatkan untuk membongkar segala yang terkubur di dalamnya menerusi sebuah projek yang dinamakan Tas Tepeler.

Kerajaan Turkiye mengepam sejumlah wang yang besar untuk menjayakan projek tersebut yang dijangka menjadi tarikan terbaharu bukan sahaja buat para arkeologis, malah juga pelancong dari seluruh dunia untuk melihat bukti ketamadunan awal manusia yang disifatkan sebagai antara penemuan terbesar abad ini.

Gobeklitepe dipercayai dibina kira-kira 7,000 tahun lebih awal sebelum pembinaan piramid dan Stonehenge, malah sebelum terciptanya sistem tulisan mahupun roda.

Bagaimanapun, apa yang cukup menarik perhatian saya adalah ketika upacara perasmian projek mega itu yang diadakan penuh gilang-gemilang di Muzium Arkeologi Sanliurfa pada 23 September 2021, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Turki, Mehmet Nuri Ersoy menegaskan, penemuan ini lebih daripada sebuah pemangkin sektor pelancongan, tetapi yang lebih penting adalah ia membuka satu lagi pintu untuk kita selangkah lagi mengenal sejarah kewujudan manusia dengan lebih mendalam. 

Turkiye sememangnya sebuah negara yang masyhur sejak berabad lamanya, medan pertemuan timur dengan barat yang menjadi pusat kerajaan Islam terbesar yang pernah wujud untuk lebih 600 tahun. 

Empayar Uthmaniyah memainkan peranan penting dalam naratif sejarah ketamadunan manusia dari kurun ke-13 sehinggalah ia berakhir rentetan kekalahan dalam Perang Dunia Pertama. 

Begitupun semangatnya tak pernah mati dan riwayat keunggulannya masih menjadi dendangan rakyatnya sampai hari ini. 

Benar, Turkiye adalah sebuah bangsa yang hebat. Namun, ketahuilah kita juga tidak kurang hebatnya. 

Sultan Mehmed al-Fateh, sang penakluk Constantinople pernah berutus surat dengan Sultan Melaka, tanda baginda memperakui keberadaan sebuah kerajaan Islam terulung yang pernah wujud di timur. 

Bangsa Melayu pernah menakluk tujuh samudera, Melaka menjadi kota yang dicemburui oleh Eropah kerana kekayaan hasil bumi serta kepesatan pelabuhannya yang mempertemukan pedagang dari serata dunia hingga sesiapapun yang datang ke sini perlu bertutur dalam bahasa kita dalam segala urusan. 

Tiada yang abadi, kedua-dua kerajaan ulung ini sampai ke pengakhirannya. 

Namun, ketika Turkiye terus menongkah zaman dengan gagah, kita masih terumbang-ambing tidak tahu mana hendak dituju. 

Apa kurangnya kita dengan Turkiye? Saya melihat satu perkara - mereka mendalami sejarah mereka. 

Bersandarkan keunggulan dan kekhilafan lalu, orang Turkiye melakar masa depan yang lebih jitu dalam lembaran baharu peradabannya. 

Inilah dia perkara yang paling saya mahu bawa pulang dari sebahagian besar negara yang pernah saya kunjungi - penekanan dan penghayatan terhadap sejarah tanah airnya - yang saya lihat tidak berlaku di negara ini. 

Memang kita juga belajar sejarah, sejak dari bangku sekolah lagi. 

Namun hakikatnya pembelajaran kita hanya sekadar ‘cukup syarat’ untuk lulus periksa. 

Selesai pengajian, pembacaan sejarah bukan lagi perkara yang perlu. 

Di Malaysia, umum melihat sejarah sebagai, kalau bukan yang paling, antara mata pelajaran yang paling bosan untuk dipelajari di sekolah. 

Asal tiba waktu kelas sejarah, mulut akan menguap, mata jadi layu, akhirnya tinggal guru bercakap seorang diri di hadapan kelas. 

Mana tidaknya, kita disuruh untuk semata-mata menghafal nama, tempat, tarikh dan pelbagai butiran lain berkenaan sesuatu peristiwa itu. 

Siapa pun pasti akan terlena, andai sejarah diajarkan secara komunikasi satu hala seperti sebuah “bedtime story.” 

Kita tidak diajak untuk berdialog, berdebat, menggali dan mempersoalkan setiap apa, bila, bagaimana, di mana dan kenapa sesuatu peristiwa itu berlaku. 

Minda kita tidak dilatih untuk berfikir dan menganalisa secara kritis terhadap setiap segala yang terjadi pada masa yang lalu. 

Sewajarnya itulah caranya untuk kita benar-benar mengenal siapa diri kita, apakah kekuatan diri yang pernah mengangkat kita menjadi bangsa yang disegani satu ketika dahulu, juga di manakah akarnya kepada segala kesilapan yang telah mengheret kita ke lembah kehancuran. 

Ahli falsafah Sepanyol, George Santayana mengatakan bahawa “barang siapa yang tidak mengingati masa lalu nescaya akan tercela untuk mengulanginya.” 

Ungkapan ini memang ada diajar di sekolah, tapi sekadar dihafal bait katanya untuk dijawab semasa periksa, tidak pernah didalami dan dihayati ertinya. 

Mungkin kita tidak begitu mengambil berat tentang sejarah kerana ia dilihat tidak menguntungkan dari segi wang ringgit, malah dianggap merugikan lagi kerana belanja perlu dikeluarkan untuk membuat kajian, penggalian, pemulihan dan pemeliharaan sesuatu bahan sejarah itu. 

Kita bukan tak ada apa-apa. Lenggong menjadi saksi bahawa wilayah ini mempunyai khazanah purba yang sangat tidak ternilai dengan penemuan rangka manusia berusia 11,000 tahun dipanggil ‘Perakman’ serta kapak tangan yang tertanam di dalam batuan suevit yang terbentuk kesan hentaman meteor sekitar 1.83 juta tahun yang lalu. 

Namun, selepas sedekad dikalung pengiktirafan sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 2012, tidak banyak yang berubah di Lenggong. 

Tiada usaha pemuliharaan dan pemeliharaan yang serius, infrastruktur pun dibangunkan ala kadar sahaja malah tidak dijaga sebaiknya, kita orang Malaysia sendiri pun tak tahu apa ada di wilayah kecil di negeri Perak itu apatah lagi pelancong luar. 

Jauh berbeza dengan apa yang saya saksikan di Turkiye, tapak arkeologi Göbeklitepe itu dibina bumbung dan laluan yang kemas dan kukuh untuk keselesaan pengunjung yang datang ke tengah-tengah gurun di Sanliurfa itu.

Muziumnya dibangunkan dengan teknologi terkini dan interaktif, barulah orang tertarik untuk datang mengunjungi, segala usahanya dibuat dengan bersungguh-sungguh. 

Kita sebenarnya sangat kaya dengan pelbagai khazanah arkeologi. Saya pasti di Melaka itu ada banyak artifak yang tertanam dan terbenam di perairannya, pantainya, sungainya juga di serata kota itu. 

Cuma tiada yang menggerakkan segala usaha yang diperlukan untuk mencarinya. 

Semua ini berakar daripada sistem pendidikan kita yang tidak menekankan aspek pengajian sejarah sebagai akar dan teras kepada kejayaan dan kesejahteraan sesebuah bangsa. 

Kita terlalu mengejar hal-hal material tetapi lupa untuk mengenal diri, sudahnya kita tiada identiti lalu hilang arah bak layang-layang putus tali. 

Sejarah memperkenalkan manusia itu kepada asal-usulnya, yang menghuraikan tentang kekuatan, potensi dan kelemahannya untuk dijadikan sandaran dalam membina sebuah kehidupan yang sejahtera di dunia ini.

Ia sepatutnya menjadi aspek yang diutamakan dan diperkukuhkan sebelum subjek lain, maka cara mengajarnya pun harus lebih segar dan menyegarkan. 

Bagaimanapun, sekiranya tiada yang tergerak untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran subjek sejarah di sekolah dan murid-murid masih menguap bosan di dalam kelas sejarah, eloklah subjek itu dimansuhkan sahaja. Buang masa, wang dan tenaga.

Salurkan sahaja peruntukan untuk mewujudkan pengajaran subjek sejarah itu kepada perkara yang boleh menjana wang, seperti membina kompleks beli-belah atau projek-projek komersial seumpamanya. Itu lagi untung!


 

Post a Comment

0 Comments