Murid maut motosikal rempuh kereta

Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa dan terlibat dalam nahas di Jalan Pokok Mangga. - Foto PDRM

MELAKA TENGAH: Seorang murid Tingkatan 4 maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta dalam kejadian melibatkan tiga buah kereta di Jalan Pokok Mangga di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.16 malam tadi, mangsa Muhammad Ammar Syahmi Rosli, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami cedera parah di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik dalam perjalanan menonton wayang, bagaimanapun rakannya Muhammad Aidiel Zaidi, 16, yang membonceng kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Malim menghala ke Banda Hilir manakala sebuah kereta lain yang terlibat jenis Mercedes Benz dipandu lelaki warga emas 67 tahun dari arah Klebang.

"Kemalangan kemudian berlaku apabila Mercedes Benz tersebut hendak membelok masuk ke simpang Taman Sri Pandan, sebelum dirempuh motosikal mangsa.

"Akibat kemalangan itu, kereta dipandu warga emas terbabit kemudian merempuh dua lagi kenderaan iaitu Proton Aeroback dan Honda Accord," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, kesemua mangsa lain bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

"Pihak polis turut mengambil spesimen darah untuk mengetahui jika terdapat bahan terlarang dalam darah mangsa," tambahnya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Previous Post Next Post