Penjawat Awam Dapat Cuti 5 Hari Tanpa Rekod Untuk Aktiviti Khidmat Masyarakat

Kakitangan kerajaan diberikan cuti maksimum lima hari setahun untuk melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat dengan pertubuhan berdaftar dan diiktiraf. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Penjawat awam diberi cuti maksimum lima hari setahun untuk melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat dengan pertubuhan diluluskan. 

Dalam pekeliling dikeluarkan pada Selasa, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Mohd Shafiq Abdullah berkata kemudahan cuti tanpa rekod itu bagi menggalakkan penjawat awam melaksanakan “kegiatan atau kerja-kerja kemasyarakatan dalam negara”.  

Ketika ini, kategori cuti tanpa rekod untuk kakitangan kerajaan adalah termasuk tiga hari untuk kematian ahli keluarga termasuk ibu bapa mertua, 90 hari cuti bersalin, tujuh hari untuk bapa apabila isteri bersalin dan 14 hari untuk guru. 

Selain itu, mereka layak mendapat cuti tahunan antara 20 dan 30 hari, bergantung kepada kategori pekerjaan dan tahun perkhidmatan mereka. 

Shafiq berkata mereka yang layak mesti menyertai aktiviti khidmat masyarakat secara sukarela yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara. 

“Pertubuhan yang diluluskan bermaksud pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 atau pertubuhan yang mempunyai akta penubuhan sendiri/ undang-undang khusus yang lain atau yayasan yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 atau Akta Syarikat 2016. 

“Kemudahan ini tidak termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am. Sekiranya aktiviti itu kurang daripada empat jam, pegawai hendaklah menggunakan Peraturan Kebenaran Untuk Meninggalkan Pejabat Dalam Waktu Bekerja di Bawah Perintah Am,” katanya. 

Beliau berkata permohonan untuk cuti khidmat masyarakat perlu disokong dengan surat daripada pertubuhan berkenaan, dengan memberi butiran aktiviti terbabit, dan diluluskan oleh ketua jabatan.

“Kemudahan cuti tanpa rekod ini diperuntukkan kepada pegawai perkhidmatan awam yang dilantik secara tetap, sementara dan kontrak,” katanya.

 

Previous Post Next Post