Beri autonomi murid kelola aktiviti kokurikulum

Imej hiasan

Isu guru berdepan pelbagai beban tugas di sekolah sering dilihat seperti tidak ada titik noktahnya. Guru dan beban di sekolah boleh dikatakan isu tiada penamatnya. Isu ini penting ditangani kerana bebanan tugas guru mempunyai hubung kait signifikan dengan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bilik darjah berkesan. 

Hakikatnya, tugas utama guru terbahagi kepada dua, iaitu pertama, mendidik dan mengajar manakala kedua, tugas pengurusan dan perkeranian.

Tugas mendidik dan mengajar serta se gala urusan berkaitan adalah tugas hakiki guru. Dedikasi mendidik mereka tidak hanya terbatas dalam ruang lingkup bilik darjah. 

Guru turut berperanan mendidik murid dengan pelbagai nilai tambah supaya mereka dibekalkan ilmu untuk bersedia mengharungi cabaran hidup mendatang. Hal ini kebiasaannya dicapai melalui aktiviti luar bilik darjah, seperti aktiviti kokurikulum. 

Namun, lazimnya guru mengelolakan sepenuhnya aktiviti berkenaan tetapi murid hadir sebagai peserta atau tetamu. 

Pendekatan sebegini mungkin menyebabkan murid gagal memanfaatkan kebaikan aktiviti berkenaan dari aspek pengurusan dan akibatnya mereka tidak mendapat apa-apa nilai tambah diharapkan daripada aspek kemahiran insaniah. 

Saban tahun, setiap sekolah perlu menganjurkan pelbagai aktiviti kokurikulum dan hampir semua aktiviti ini dikelolakan guru dengan peranan murid yang sangat minimum. 

Antara potensi penyelesaian bagi meminimumkan pembabitan guru ialah membabitkan murid sepenuhnya dalam hal pengelolaan. 

Kurangkan beban guru Dalam hal ini, guru berfungsi sebagai pembimbing atau pemudah cara. Pendekatan memberi autonomi kepada murid untuk mengelolakan aktiviti kokurikulum mampu mengurangkan beban guru. 

Dengan autonomi diberi, murid akan memperoleh pengalaman amat berguna dari sudut membina keyakinan dan kemampuan diri mengelola serta mengendalikan sesuatu program atau majlis. 

Namun, tugas membimbing murid dalam hal ini tidak boleh dianggap sebagai beban, sebaliknya perlu dilakukan secara berterusan dengan penuh kesabaran walaupun bakal berdepan cabaran, terutama di peringkat permulaan.

Sebagai pembimbing, guru perlu mempunyai semangat kental dan tidak mudah menyerah kalah apabila berdepan dengan kerenah murid daripada pelbagai latar belakang. 

Pada peringkat permulaan, sudah pasti segala usaha membabitkan murid dalam hal pengelolaan aktiviti kokurikulum sekolah akan mempunyai kelemahan dan kekurangan. 

Justeru, guru, ibu bapa dan masyarakat serta pihak luar tidak harus menjadikan kelemahan dan kekurangan itu sebagai peluang untuk menuding jari mencari kesalahan pihak sekolah atau murid. 

Sebaliknya, kelemahan terbabit perlu dikaji dan dianalisis supaya dapat ditangani dengan berkesan, sehingga wujud satu panduan dan norma untuk murid tahun berikutnya melaksanakannya. 

Pembabitan murid dalam pengelolaan sepenuhnya aktiviti dan program sekolah boleh dikategorikan sebagai proses bimbingan di luar bilik darjah, terutama dari aspek membina kemahiran insaniah. 

Walaupun pada peringkat awal, pendekatan ini mungkin dilihat menambah tugas sedia ada guru, namun hal sedemikian bersifat sementara. 

Kementerian Pendidikan (KPM) boleh memikirkan kaedah memotivasikan guru dan pengurusan sekolah bagi menjayakan pendekatan ini bagi mengurangkan beban guru dan memberi pengalaman kepada murid melaksanakan aktiviti kokurikulum.
Previous Post Next Post