Kes kakak tikam adik: Pisau tertusuk pada leher mangsa - Polis

Remaja perempuan berusia 18 tahun ditahan reman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian membaling pisau ke arah adik lelakinya berusia 16 tahun hingga maut di rumah mereka di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh, semalam. - Foto BERNAMA

ISKANDAR PUTERI: Punca kematian remaja lelaki berusia 16 tahun selepas terkena pisau yang dibaling kakaknya dalam kejadian di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh di sini, semalam disahkan akibat pendarahan yang banyak pada saluran darah utama. 

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata maklumat itu diperoleh hasil bedah siasat dijalankan ke atas mayat mangsa di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini. 

Beliau berkata, pendarahan berlaku akibat hujung pisau pemotong sayur dibaling kakak mangsa terkena pada arteri di bahagian kanan leher mangsa. 

"Sebab kematian mangsa kerana satu tusukan pisau dan hujung pisau itu terkena pada saluran darah utama (arteri) menyebabkan pendarahan yang banyak," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Semalam, media melaporkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut dipercayai tertusuk pisau yang dibaling kakaknya. 

Siasatan awal polis mendapati, kejadian berpunca daripada pergaduhan adik-beradik dan ibu mangsa mendakwa mangsa bergaduh dengan kakaknya kerana berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah. 

Kakak mangsa mengaku membaling pisau ke arah mangsa selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah. 

Rahmat berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sejurus insiden itu dan pisau pemotong sayur yang digunakan dalam kes berkenaan sudah dirampas di tempat kejadian. 

"Bagaimanapun, tiada kecederaan lain ditemui pada mangsa," katanya. 

Hari ini, suspek yang juga remaja perempuan berusia 18 tahun ditahan reman enam hari bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atasnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

Previous Post Next Post