Lembaga Tatatertib KPM bebaskan Mohd Fadli Salleh


Kuala Lumpur: Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan memutuskan guru Matematik Mohd Fadli Mohamed Salleh tidak bersalah susulan pendedahan mengenai kepincangan silibus pendidikan negara. 

Menerusi surat keputusan yang tular di laman sosial petang ini, Mohd Fadli juga dibebaskan daripada tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. 

Berdasarkan surat berkenaan, guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu tidak akan dikenakan sebarang tindakan tatatertib oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Beberapa hari lalu, tular kisah Mohd Fadli yang dikatakan bakal dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana mengkritik sistem pendidikan negara. 

Malah, isu ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. 

Mohd Fadli juga dijangka berkongsi keputusan mesyuarat Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan menerusi Facebook (FB) malam ini. 

Sebelum ini, Mohd Fadli mendakwa silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai. 

Malah dia turut menyuarakan pendapat jumlah murid di dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang boleh memudaratkan kesihatan murid.

 

Previous Post Next Post