Parlimen sudah dibubar, apa berlaku selepas ini?


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara rasmi mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 dalam satu Perutusan Khas pada 3 petang, pada Isnin.

Ini menamatkan teka-teki tarikh pembubaran Parlimen yang menjadi topik hangat sepanjang minggu lalu ketika mana Bajet 2023 dibentangkan kerajaan campuran ini. 

Ini sekali gus bakal menentukan siapa yang akan mentadbir negara untuk tempoh mandat lima tahun akan datang. 

PEMBUBARAN PARLIMEN

Selepas ini, Istana Negara akan mengeluarkan kenyataan berhubung pembubaran parlimen dan berkaitan dengan tarikh-tarikh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa untuk mengemukakan cadangan pembubaran parlimen.

Kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri akan digelar sebagai Kerajaan Sementara yang mempunyai kuasa sementara dan terhad untuk menjalankan tugas-tugas secara interim walaupun tiada dalam Perlembagaan berkaitan Kerajaan Sementara namun ini berdasarkan amalan sistem Westminster.

Perkhidmatan awam akan berjalan seperti biasa termasuk gerak kerja pihak berkuasa manakala Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali akan menjalankan tugas melicinkan pentadbiran kerajaan.

Kesemua dasar, akta serta perundangan yang mahu dibentangkan di Parlimen akan akan ditangguhkan terlebih dahulu susulan pembubaran parlimen.

Bagi Bajet 2023, kerajaan baharu yang terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 akan membentangkan kembali bajet baharu bagi tahun hadapan dan proses itu akan dimulakan daripada awal.

Sudah menjadi amalan di Malaysia, Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri dibubarkan pada hari yang sama atau Parlimen dibubarkan untuk menyertai Pilihan Raya Umum tetapi bagi PRU15, Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor telah melaksanakan Pilihan Raya Negeri lebih awal.

Perlu diambil maklum negeri-negeri ditadbir di bawah Pakatan Harapan (PH) seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor hanya akan dibubarkan DUN pada 2023 selaras kenyataan dikeluarkan gabungan parti pembangkang itu.

Manakala Negeri-negeri di bawah pentadbiran Pas seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan pula masih sedang melakukan perbincangan sama ada untuk membubarkan atau tidak DUN masing-masing.

SPR UMUM TARIKH PENTING PRU15

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat dan sidang media dalam tempoh 60 hari untuk mengumumkan tarikh-tarikh penting seperti penamaan calon, hari mengundi awal dan hari mengundi biasa. 

SPR juga mengeluarkan writ dan arahan kepada pegawai pilihan raya bahagian di seluruh negara untuk pilihan raya diadakan di kawasan masing-masing dan notis pilihan raya akan diletakkan di semua kawasan untuk tatapan orang ramai. 

Notis itu mengandungi tarikh untuk penamaan calon dan tarikh pengundian awal serta pengundian biasa. 

GELANGGANG POLITIK DIBUKA

Bagi parti politik, mereka perlu mempersiapkan calon-calon untuk bertanding dan serahan borang calon perlu dilakukan pada Tarikh penamaan calon antara jam 9 hingga 10 pagi.

Semua calon perlu membayar deposit RM10,000 untuk kerusi Parlimen, manakala RM5,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri. 

Pegawai pilihan raya perlu memastikan borang pencalonan diisi dengan lengkap bagi membolehkan calon bertanding. 

Pencalonan boleh dibatalkan sekiranya calon didapati tidak melengkapkan borang pencalonan, muflis, memiliki akal tidak sempurna atau bukan warga negara Malaysia.

Pegawai pilihan raya akan mengumumkan nama calon yang layak bertanding selepas jam 10 pagi.

KEMPEN PILIHAN RAYA BERMULA

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan tempoh berkempen yang kebiasaannya selama 12 hingga 14 hari dan ia bermula sebaik saja proses penamaan calon selesai dan akan berakhir jam 12 tengah malam sebelum hari pengundian.

Calon yang bertanding kerusi Parlimen boleh mengeluarkan perbelanjaan maksimum RM200,000 untuk berkempen, manakala calon DUN dibenarkan berbelanja maksimum RM100,000.

Sepanjang tempoh berkempen, SPR akan menubuhkan pasukan petugas bagi memantau tingkah laku calon ketika berkempen dan memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memantau aktiviti Pilihan Raya sekiranya terdapat unsur rasuah dan Polis Diraja Malaysia turut menjalankan tugas memastikan ketenteraman awam itu dijaga sepanjang proses.

UNDI AWAL

Hari pengundian awal dilaksanakan bagi membolehkan keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuang undi dan jumlah undi itu akan disimpan di lokasi selamat sehingga hari pengundian sebenar untuk dikira bersama kertas undi lain.

UNDI POS

Bagi individu yang dibenarkan untuk melakukan undian melalui pos, mereka akan menerima kertas undian lebih awal sebaik dicetak dan pengundi pos perlu memulangkan kertas undian yang sudah ditanda kepada Pejabat Pilihan Raya pada jam 5 petang ketika hari pengundian.

Pengundi luar negara akan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu warga negara Malaysia yang tinggal di luar negara dan sudah berdaftar untuk mengundi secara pos atau mereka yang berada di luar negara tetapi tidak perlu mendapat kelulusan untuk undian pos.

HARI PENGUNDIAN

Tempoh masa pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dipanjangkan selama satu jam bagi Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.

ia adalah antara beberapa penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan perjalanan pilihan raya di negara ini lebih efisyen, adil dan telus.

Penambahbaikan lain termasuk mewujudkan saluran khusus kepada pengundi 60 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU).

Saluran satu dan dua di pusat mengundi adalah dihadkan kepada 450 orang pemilih saja dan adalah saluran khusus kepada pengundi 60 tahun ke atas serta OKU.

Selain itu, berikutan pelaksanaan Undi18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik, SPR juga mengambil inisiatif untuk menambah jumlah pusat mengundi dan saluran sedia ada, bertujuan mengelakkan kesesakan di pusat mengundi.

KIRAAN UNDI

Sebaik undian ditutup, Pegawai Pengerusi akan membuat kiraan kertas undi. Pegawai terbabit akan memastikan jumlah kertas undian yang diterima di pusat masing-masing di awal pengundian adalah sama dengan kertas undian yang diberikan kepada pengundi serta yang tidak digunakan.

Kertas undian yang tidak jelas serta tidak ditanda dengan betul akan diketepikan.

Selepas itu, pengiraan akan mula dilakukan dan pegawai pengerusi akan melihat semula kertas undian yang kurang jelas bagi menentukan sama ada ia boleh diterima atau sebaliknya.

Borang tertera jumlah undian akan dibawa ke pusat pengiraan undi, di mana, pegawai pilihan raya akan mengumumkan keputusan di pusat undian masing-masing.

 

Previous Post Next Post