Ambil kira PRU-15 sebelum susun jadual peperiksaan percubaan SPM 2022 - KPM

Imej hiasan

Putrajaya - Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua negeri mengambil kira tarikh Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU) sebelum menentukan tarikh peperiksaan percubaan SPM yang dijadual akan dilaksanakan sekitar November ini.

"Dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan 19 November 2022 (Sabtu) sebagai hari pengundian bagi Pilihanraya Umum (PRU) Ke-15, manakala hari penamaan calon pada 5 November 2022 (Sabtu) dan tarikh mengundi awal pada 15 November 2022 (Selasa). 

"Bagi tujuan PRU ke-15 ini, SPR juga akan menggunakan sekolah terpilih sebagai pusat mengundi dan melantik petugas PRU dalam kalangan guru.

"Sehubungan dengan itu, bagi memastikan pelaksanaan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di sekolah yang terlibat dengan PRU ke-15 berjalan lancar, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memohon kerjasama semua pengarah negeri untuk menyusun jadual waktu peperiksaan percubaan SPM 2022 dengan mengambil kira tarikh dan keperluan PRU ke-15," katanya dalam satu surat edaran yang bertarikh 25 Oktober 2022.

Menurut KPM juga, pihak JPN perlu merancang pengurusan peperiksaan percubaan SPM 2022 mengikut kapasiti sekolah dan kesediaan murid dalam tempoh yang ditetapkan.

"Dimaklumkan juga bahawa Takwim Pengisian Markah Peperiksaan Dalaman Sekolah Menengah Atas Bagi Sesi Kalendar Akademik 2022/2023 boleh dirujuk melalui laman sesawang https://sapsnkra.moe.gov.my/ " jelasnya lagi.


Previous Post Next Post