KPM beri tumpuan kepada MBPK secara serius

Imej hiasan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berusaha menyediakan akses pembelajaran yang kondusif untuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) mempelajari serta menguasai bidang kemahiran dan vokasional pada peringkat sekolah. 

Pengarah Bahagian Pendidikan Khas KPM, Salmah Jopri berkata, KPM ketika ini menyediakan empat Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan satu Kolej Vokasional yang menawarkan kursus untuk MBPK. 

Menurutnya, MBPK yang berminat mempelajari bidang vokasional boleh belajar di SMPKV Shah Alam, Selangor; SMPKV Kuantan, Pahang; SMPKV Indahpura, Johor dan SMPKV Merbok, Kedah serta Kolej Vokasional Keningau di Sabah.

"Bagi MBPK yang mengikuti Program Vokasional Menengah Atas (PVMA), mereka perlu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah. 

"Mereka perlu mengambil peperiksaan Mata Pelajaran Aliran Kemahiran (MPAK), dan ditaksir untuk memperoleh SKM di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). 

“MBPK yang mengikuti Kemahiran Vokasional Spesifik berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas (KSSMPK) di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) pula akan ditaksir untuk memperoleh Sijil Kemahiran Program Modular," jelasnya. 

Syarat kemasukan 

Antara syarat umum kemasukan ke SMPKV, calon mestilah warganegara Malaysia dan bersekolah di sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan. 

*Calon perlu mempunyai surat pengesahan daripada pengamal perubatan atau ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi mengikut mana-mana yang berkenaan sama ada dalam perkhidmatan kerajaan mahupun swasta. 

“Bagi tujuan memperoleh Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMK) merekaperlu mempunyai kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya lagi. 

Menurutnya, antara kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di SMPKV dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK) termasuklah penginapan di asrama, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Bantuan Makanan Asrama (BMA), layak menerima EMK (sekiranya pemegang kad OKU) di samping bantuan bayaran yuran pendaftaran SKM serta PVMA. 

Mengenai SMPKV Shah Alam, beliau berkata, sekolah itu merupakan satu daripada empat SMPKV di bawah pentadbiran Bahagian Pendidikan Khas, KPM khususnya untuk MBPK. 

SMPKV Shah Alam telah diiktiraf oleh JPK Kementerian Sumber Manusia sebagai sebuah pusat bertauliah untuk sembilan kursus kemahiran vokasional. 

Sukatan Pelajaran 

Menurut Salmah, sukatan kemahiran yang digunakan adalah berdasarkan standard kemahiran kebangsaan yang dibangunkan oleh JPK. 

Jelasnya, mata pelajaran akademik yang direka khas berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang dihasilkan oleh KPM turut diajar kepada murid-murid berkenaan. 

Mata pelajaran tersebut ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Sains Sosial dan Alam Sekitar, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Seni Visual serta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. 

"Antara aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah ini ialah pasukan badan beruniform, kelab dan persatuan, sukan dan permainan," ujarnya. 

Tambah beliau, setelah tamat pengajian, MBPK akan melanjutkan pelajaran pada peringkat kolej dan universiti atau memulakan kerjaya dalam bidang yang diambil. 

Katanya, MBPK di SMPKV yang mengambil kursus kemahiran layak menyambung pengajian pada peringkat yang lebih tinggi.

Dalam era globalisasi ini, kami akui terdapat banyak cabaran yang akan dihadapi oleh golongan MBPK. Oleh itu, kami sangat komited dan sentiasa bersedia untuk memenuhi keperluan pasaran kerja." - Pengarah Bahagian Pendidikan Khas KPM, Salmah Jopri 

"Ini termasuklah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Kemahiran Johor dan Institut Kraf Negara," jelasnya. 

Tempoh pengajian: 

Terdapat dua kaedah dalam pelaksanaan aliran kemahiran, iaitu: 

i. MBPK yang mengambil kursus SKM penuh di SMPKV dan PPKI terpilih - selama dua tahun bagi tahap satu dan dua, tiga tahun bagi tahap tiga. 
ii. MBPK yang mengambil kursus SKM modular di PPKI - selama empat tahun bermula dari tingkatan dua. 

Menurutnya, aliran kemahiran yang disediakan direka bentuk 'secara terperinci untuk memastikan muridmurid menerima pendedahan awal secara maksimum. 

"Segalanya demi mempersiapkan mereka sebelum memasuki alam pekerjaan. Untuk hasil yang optimum, kursus-kursus ini dikawal selia oleh JPK. Setelah berjaya melalui latihan, murid akan diberi SKM yang diiktiraf dalam pelbagai industri. 

"Dalam era globalisasi ini, kami akui terdapat banyak cabaran yang akan dihadapi oleh golongan MBPK. Oleh itu, kami sangat komited dan sentiasa bersedia untuk memenuhi keperluan pasaran kerja," katanya lagi.



Previous Post Next Post