PH tak tawar pendidikan percuma kerana faktor ekonomi negara

Nik Nazmi (tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR pada Rabu.

PETALING JAYA - Pakatan Harapan (PH) tidak menawarkan pendidikan percuma dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas faktor kewangan semasa negara serta implikasinya di masa hadapan.

Ahli Jawatankuasa Manifesto PH, Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan, manifesto PH pada setiap pilihan raya juga adalah berbeza dengan mengambil kira pelbagai faktor selain perlu realistik mengikut kemampuan kerajaan semasa.

“Kita lihat keadaan fiskal dan kewangan kerajaan, apabila hutang terlalu tinggi, kita rasakan pendekatan yang lebih berfokus perlu dilakukan.

"Oleh itu (tawaran pendidikan) difokuskan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) supaya lebih lestari," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Rabu.

Dalam pada itu, Nik Nazmi yang juga Naib Presiden PKR itu menjelaskan, pendekatan tersebut turut dilakukan oleh gabungan parti besar lain yang menawarkan manifesto mengikut keadaan semasa.

Sebagai contoh katanya, BN dan Pas juga akan menawarkan manifesto berbeza bagi setiap pilihan raya mengikut keadaan ekonomi serta kewangan negara.

“PH tidak akan 'copy paste' tawaran yang sama (pilihan raya sebelumnya) kerana keadaan ekonomi dan kewangan negara berubah mengkut keadaan,” jelasnya.

Menerusi manifesto yang dilancarkan pada 2 November lalu, PH turut menawarkan pengampunan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disasarkan kepada pelajar B40 selain memperkenalkan lebih banyak biasiswa B40 dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.

Previous Post Next Post