UEC: Kaji secara profesional, usah dipolitikkan - Ikram

Prof Dr Omar Yaakob

PETALING JAYA: Kemeterian Pendidikan seharusnya melaksanakan kajian berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama atau Unified Examination Certificate (UEC) Sekolah Menengah Persendirian Cina dengan menilai pendekatan yang lebih profesional dan bukannya terus dipolitikkan. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Prof Dr. Omar Yaakob berkata, ini kerana isu pendidikan perlu diurus dengan lebih profesional dan pragmatik terutama dalam menyelesaikan perkara berbangkit yang sudah lama berlarutan.

Katanya, kajian itu boleh dilaksanakan misalnya dengan meletakkan syarat tertentu sebelum mengiktiraf sijil berkenaan berbanding terus dipolitikkan pihak tertentu. 

"Orag sering mengaitkan (iktiraf UEC) dengan DAP, tetapi semua komuniti Cina baik Parti Gerakan, MCA, DAP dan kumpulan bukan Islam Pas (Dewan Himpunan Pendukung Pas) pun keluarkan kenyataan sokong UEC.

"Kementerian Pendidikan sebelum ini pun sudah menerima (sijil UEC) untuk masuk Institut Pendidikan Guru (IPG), jadi kita perlu lihat di luar (konteks) politik dan kaum.

"Adakah kita mahu tutup sekolah Cina dan adakah ini realistik? Bagi saya ia amat sukar kerana mereka telah wujud sekian lama dengan sistem sendiri, jadi kena fikirkan cara bagaimana untuk menguruskan kepelbagaian ini," katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Persatuan Pengarah Sekolah Cina di Malaysia (Dong Zong) berhasrat bertemu dengan Menteri Pendidikan baharu bagi memberi cadangan supaya mengiktiraf UEC. 

Ketua Pegawai Eksekutif Dong Zong, Leong Seng Yee berkata, pihaknya akan meminta kerajaan mempertimbang perkara itu kerana sijil tersebut sudah diterima di universiti swasta dan diluar negara.

Kata Seng Yee, perkara itu antara 11 cadangan yang dibincangkan dalam mesyuarat bersama persatuan berkenaan baru-baru ini. 

Beliau berkata, pengiktirafan sijil UEC ke universiti awam turut membolehkan mereka yang layak mendapat tempat dalam perkhidmatan awam.
Previous Post Next Post