Murid Tingkatan 2 selamatkan kanak-kanak lemas terima anugerah Hero Bomba

Mohammad Hamdan menyampaikan sijil penghargaan Hero Bomba kepada Muhammad Zulfikal (kanan) ketika lawatan kerja rasmi beliau ke JBPM Negeri Sembilan di Seremban 2, Seremban hari ini. - Foto ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN – Wira remaja, Muhammad Zulfikal Asmadi,14, yang berjaya menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak perempuan yang hampir lemas di Pantai Penunjuk, Kijal, Terengganu pada 16 Disember lalu, menerima penghargaan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini.

Sijil Penghargaan Hero Bomba itu disampaikan oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid kepada remaja tersebut ketika lawatan kerja rasmi beliau ke JBPM Negeri Sembilan di Seremban 2 di sini hari ini.

Muhammad Zulfikal yang merupakan murid tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal ketika ditemui pemberita menyifatkan sijil penghargaan itu sebagai pembakar semangat buatnya untuk sentiasa membantu orang lain.

“Saya bangga apabila menerima sijil penghargaan dan ia merupakan pertama kali saya menerima anugerah sebegini.

“Pada waktu kejadian itu saya hanya fikir hendak tolong orang dan tidak pernah terfikir untuk menerima anugerah.

“Sewaktu kejadian itu saya sedang berehat bersama rakan-rakan dan mendengar orang memanggil untuk mendapatkan bantuan jadi saya ambil sampan dan terus membantu mangsa tersebut,” katanya lagi.

Remaja tersebut turut memberitahu dia sememangnya meminati kerjaya sebagai anggota pasukan beruniform, malah dia menyertai unit beruniform Kadet Polis di sekolahnya.

Rakaman video Muhammad Zulfikal cuba menyelamatkan nyawa kanak-kanak tersebut tular di media sosial sejak 18 Disember lalu.

Tindakan berani remaja itu mendapat pelbagai reaksi positif orang ramai yang memuji keberaniannya.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang pada 18 Disember lalu, mangsa yang berasal dari Bandar Seri Bandi terselamat daripada lemas ketika berkelah dan mandi di pantai itu bersama ahli keluarganya.

Sementara itu, ibu kepada Muhammad Zulfikal, Nur Ismidatul Akmal Ismail, 35 berkata, anaknya memang seorang yang berani dan sering berada di sekitar pantai Penunjuk, Kijal bersama nelayan.

“Saya tidak sangka dia mampu menyelamatkan orang walaupun saya tahu dia seorang yang berani. Dia merupakan anak nelayan memang sering berada di pantai dan sejak kecil lagi sudah pandai berenang.

“Saya amat bangga dengan dia. Terima kasih atas anugerah ini dan tentunya saya sebagai ibu berasa aya amat terharu,” katanya.

Muhammad Zulfikal yang merupakan anak sulung daripada empat orang beradik itu hadir bersama keluarganya pada majlis tersebut dan tiba di bandar ini sejak semalam. – KOSMO! ONLINE

Previous Post Next Post