Murid Tingkatan 4 maut nahas motosikal bertembung kereta


LANGKAWI: Seorang murid tingkatan empat maut, selepas motosikal ditunggangnya bertembung kereta di Jalan Ulu Melaka di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, Muhammad Alimi Alif, 16, yang juga murid Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra di sini, mati di lokasi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata siasatan awal mendapati, kereta terbabit dalam perjalanan dari Padang Matsirat menghala ke Ulu Melaka, manakala motosikal ditunggang Muhammad Alimi dari arah bertentangan.

"Setiba di lokasi, kereta yang dipandu lelaki berusia 33 tahun membelok ke kanan untuk masuk ke jalan tar mini. Pada masa sama, motosikal dari arah bertentangan yang disyaki ditunggang laju tidak sempat mengelak lalu melanggar hadapan kiri kereta itu.

"Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal yang dipercayai tidak memakai topi keledar tercampak ke atas jalan raya dan meninggal dunia akibat cedera di kepala," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shariman berkata, mangsa dari Kampung Nyior Chabang, Mukim Bohor itu, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh paramedik Hospital Sultanah Maliha (HSM).

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati keadaan jalan sedikit selekoh, jalan dua hala, manakala pencahayaan sedikit gelap walaupun berlampu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Previous Post Next Post