Takwim persekolahan 2023/2024 kekal mula Mac depan

Imej hiasan

Putrajaya: Sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024 bermula pada 19 Mac 2023 hingga 9 Mac 2024 bagi negeri kumpulan A manakala 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024 bagi negeri kumpulan B.

Kumpulan A membabitkan Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan berdasarkan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 2 Tahun 2021 sebelum ini, sesi persekolahan 2023/2024 ditetapkan pada 12 Mac bagi kumpulan A dan 13 Mac bagi kumpulan B.

"Sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 dikekalkan pada Mac 2023 untuk memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada satu ratus sembilan puluh (190) hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

KPM berkata, pihaknya juga mengambil maklum cadangan daripada beberapa pihak untuk mengembalikan permulaan sesi persekolahan kepada Januari.

"KPM berpandangan bahawa perkara ini boleh dilaksanakan dengan memendekkan cuti persekolahan secara berperingkat bermula daripada 2023 sehingga 2026 dengan pematuhan kepada jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik.

"Namun, mengambil kira kebajikan para guru, murid dan kesan kepada ekonomi negara, KPM mengambil keputusan untuk menangguhkan cadangan ini bagi meminimakan impak kepada pihak-pihak berkaitan," katanya.

KPM juga mengambil kira pelbagai pandangan yang diterima daripada pemegang taruh untuk mengelakkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diadakan pada November dan Disember kerana bertembung dengan musim tengkujuh.

"Pelaksanaan peperiksaan SPM dalam musim tengkujuh boleh menimbulkan tekanan bukan sahaja bagi guru dan petugas peperiksaan, malah kepada murid dan ibu bapa.

"Apabila SPM diadakan pada Februari atau Mac, tempoh menunggu untuk calon terbabit bagi kemasukan ke universiti juga akan lebih pendek berbanding sebelum ini," katanya.

KPM berkata, walau bagaimanapun, KPM sentiasa melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum.

Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 boleh di muat turun melalui laman sesawang KPM di pautan https://www.moe.gov.my/takwim.

Previous Post Next Post