Sesi sekolah Mac bukan isu besar - Kongres

PETALING JAYA: Permulaa penggal baharu persekolahan pada bulan Mac bukan satu isu yang besar tetapi lebih kepada kebiasaan masyarakat terutama ibu bapa terhadap sesi persekolahan bermula pada awal tahun sejak sekian lama.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, jika diambil kira situasi semasa negara seperti banjir yang sering melanda pada hujung tahun, adalah lebih baik untuk dibiarkan sahaja peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada awal tahun.

Beliau berkata, apabila SPM diadakan pada awal tahun, pelajar yang berdepan dengan situasi banjir di beberapa negeri tidak akan rasa tertekan untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan itu.

"Masa depan pelajar amat penting, lebih-lebih lagi SPM adalah peperiksaan yang sangat penting bagi pelajar menentukan hala tuju mereka selepas itu.

"Motif utama persekolahan adalah sepatutnya untuk keselesaan pelajar, jadi kena fokus kepada keperluan. dan hak mereka, bukan isu kebiasaan ibu bapa atau guru," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, isu berkaitan menjadualkan semula tarikh kemasukan penggal baharu persekolahan kepada Januari berbanding Mac akan dibincangkan di peringkat kementerian. 

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan cadangan pelbagai pihak kepada kerajaan untuk mengembalikan semula takwim persekolahan kepada Januari kerana ramai keliru dengan tarikh kemasukan Mac.

Previous Post Next Post