[Video] Bertumbuk tidak puas hati gaduh di kantin, 4 murid ditahan

EMPAT orang murid telah ditahan polis selepas mereka disyaki terlibat dalam satu kes pergaduhan dekat kajang pukul 12.30 tengah hari semalam.

Ke semua mereka yang berusia antara 15 hingga 16 tahun ditahan kira-kira pukul 8.50 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 16 tahun yang mendakwa telah dipukul sekumpulan murid pada pukul 5.04 petang semalam.

Beliau berkata, punca pergaduhan dipercayai perselisihan faham dengan rakan suspek yang didakwa telah mencampakkan duit ketika membeli minuman di kantin sekolah pada hari Rabu lalu.

“Ia berlarutan apabila kedua-dua pihak bertumbuk kerana tidak puas hati.

“Suspek kemudian meminta bantuan daripada rakan sekolah lain untuk membalas dendam terhadap mangsa” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, akibat pergaduhan itu, mangsa mengalami cedera ringan di muka dan badan.

Bertindak atas maklumat, empat suspek yang merupakan murid di sekolah yang sama dengan mangsa ditahan polis.

“Reman terhadap suspek akan dipohon di Mahkamah Bandar Baru Bangi pada hari ini.

“Polis juga masih mengesan beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kes terbabit,” ujarnya.

Sehubungan itu, kes disiasat dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor K. Suresh di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan.

Sumber: Utusan TV

Previous Post Next Post